Malaysia Dateline

Perkataan ‘Taliban’: Nga Kor Ming yang mulakan, kata Khairy

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menempelak Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming ekoran isu perkataan ‘Taliban’.

Menurut Khairy, pemimpin DAP berkenaan yang mula mencetuskan perkataan tersebut menjelang PRK Cameron Highlands dan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada tiga minggu lalu.

“Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Nga Kor Ming telah meminta saya untuk membuat permohonan maaf kerana perkataan ‘Taliban’ yang telah saya sebutkan ketika sesi Soalan Lisan di Parlimen pagi tadi.

“Walaupun saya telah menarik balik perkataan tersebut, beliau telah mengeluarkan kenyataan media agar saya meminta maaf kerana perkataan ‘Taliban’ tersebut kononnya telah mencemari kemuliaan Dewan Rakyat.

“Nga Kor Ming harus sedar, perkataan ‘Taliban’ menjadi hangat kerana ianya dimulakan oleh beliau sendiri. Ketika berkempen di sebuah pasar pagi ketika PRK Cameron Highlands, beliau telah menuduh bahawa kerjasama Umno dan Pas boleh menyebabkan permusuhan agama dan perkara ini telah dilaporkan oleh akhbar Oriental Daily pada 27 Januari 2019.

“Selepas itu, pada 8 Mac 2019, ketika beliau membuat lawatan ke pasar pagi di Aulong, Taiping bersempena Hari Wanita Sedunia, beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa sekiranya kerjasama UMNO dan Pas berhasil, Malaysia mungkin menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

“Kenyataan yang dibuat Nga Kor Ming ini telah disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan China Press,” dipetik dari Facebok rasminya hari ini.

Sehubungan itu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno berkata, meskipun kenyataan Nga itu berlaku di luar Dewan Rakyat tetapi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah jawatan rasmi Nga bagi setiap masa selagi memegang portfolio tersebut.

“Apa-apa kenyataan yang dibuat beliau (Nga) merupakan refleksi jawatan yang disandangnya,” tegas bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi.