Perkauman sebagai usaha memusnahkan akal waras bangsa Melayu

Persoalan berkaitan dengan perkauman masih tetap membelenggu sistem sosial, politik dan ekonomi Malaysia, meskipun negara sedang beranjak ke arah revolusi industri 4.0. Masyarakat dunia telah bergerak jauh, mencetuskan transformasi daripada revolusi industri kepada era teknologi maklumat, namun rakyat Malaysia masih bergelut dalam realiti pertarungan kuasa dan konflik pembinaan interaksi sosial.

Pemikiran perkauman nampaknya semakin menebal. Walau pun pelbagai tindakan strategik telah dibuat, akal perkauman nampaknya semakin kuat mencengkam.

Kongres Maruah Melayu, pada 6 Oktober 2019, dijadikan agenda kononnya untuk mengangkat maruah Melayu, berdasarkan premis “maruah Melayu telah susut dan merosot.”

Berdasarkan nada yang digemerincingkan dalam Kongres Maruah Melayu tersebut, apa yang bersifat hipotetikal untuk dikaitkan dengan kemerosotan maruah Melayu, hakikatnya berpunca daripada penglibatan DAP dalam pembentukan kerajaan selepas gelombang 9 Mei 2018.

Dikatakan bahawa kerajaan selepas 9 Mei 2018, bukan lagi kerajaan yang pro Melayu, sebaliknya telah dikuasai oleh Cina pendokong sosialis, bukan lagi dominasi Melayu Islam.

Naratif yang disebarkan, kontrak sosial telah dilanggari, hak-hak serta keistimewaan orang Melayu telah dicabar. Persoalan asasnya apakah sebenarnya wujud secara konstruktif dokumen yang dikatakan sebagai kontrak sosial itu?

Pelbagai pihak yang bercakap soal kontrak sosial, namun sehingga kini masih gagal untuk mengemukakan bukti secara konkrit dokumen yang diklasifikasikan sebagai kontrak sosial itu.

Pemikiran yang disebarkan seolah-olah telah berlakunya pengkhianatan nyata terhadap bangsa Melayu oleh orang bukan Melayu.

Soalnya apakah ia merupakan satu kebenaran atau hanya satu usaha untuk membonsaikan minda Melayu ke dalam lingkungan sudut sempit kedaerahan melayunisme, tanpa melihat realiti kewujudan negara bangsa yang di bina secara bersama dalam kalangan warganegaranya.

Memandangkan terdapat pihak yang membangkitkan soal geopolitik kedaearahan Tanah Melayu, kononnya itulah fakta sejarah, namun adalah juga wajar untuk menelaah secara analitikal akan pola negara yang telah diwujudkan pada tahun 1963, Pembentukan Malaysia yang juga melibatkan penyertaan Sabah dan Sarawak (Singapura tidak perlu diperbahaskan).

Bercakap soal Tanah Melayu, bermakna mempersisihkan akan soal kehadiran Sabah dan Sarawak. Maknanya, membina dimensi negara itu hanya berdasarkan kepada Tanah Semenanjung, apa pun hujah yang dikemukakan hakikatnya itulah rujukannya.

Berhubung dengan persoalan kontrak sosial, Ibn Khaldun dalam tulisannya Mukadimah, menegaskan bahawa kontrak sosial hakikatnya perjanjian yang mengikat di antara rakyat dengan pemerintah, bukannya perjanjian atau perakuan persetujuan di antara rakyat dengan rakyat. Tugas pemerintah adalah untuk melindungi rakyat daripada segala bentuk unsur yang boleh mencetuskan ketidak stabilan dan kerosakan sistem serta peraturan.

Melindungi rakyat daripada ancaman pengkhianatan yang mungkin dilakukan oleh warganegara itu sendiri, kerusuhan yang mungkin dilakukan oleh rakyat dalam kalangan rakyat itu sendiri.

Berdasarkan penegasan Ibn Khaldun ini, maka apa pun pentafsiran yang dibuat berkaitan dengan kontrak sosial, segalanya adalah terakum di dalam Perlembagaan negara, khususnya dalam konteks Malaysia moden.

Ini bermakna, kerangka tunggal bersabit dengan kontrak sosial itu adalah Perlembagaan negara itu sendiri secara mutlak, maka tidak ada perkara atau dokumen lain yang perlu dijadikan asas rujukan serta dijadikan bahan hujahan.

Ini bererti, kerangka tindakan kerajaan dan rakyat seharusnya berpaksikan kepada segala kehendak dan tuntutan klausa dalam Perlembagaan. Landasan proses pembuatan keputusan secara mutlak adalah berfokuskan serta berteraskan kerangka pemikiran yang terkandung di dalam klausa Perlembagaan.

Usaha mencabar keputusan pemerintah yang dilaksanakan dalam lingkungan Perlembagaan, merupakan satu penyelewengan adab dan etika, jelas melanggar prinisp-prinsip Rukunegara. Kerajaan berhak mengambil tindakan perundangan dalam segala bentuk menkanisme yang diabsahkan Perlembagaan, terhadap sesiapa individu atau kumpulan yang mencabar kerangka lingkungan Perlembagaan negara.

Berpatah balik kepada isu yang berkaitan dengan aspek perkauman, Dinesh D’ Souza, dalam tulisannya, The End of Racism, menjelaskan hakikatnya perkauman merupakan satu kerangka ideologi yang berakar dalam lingkungan pemikiran barat.

Bertitik tolak daripada usaha untuk memperjelaskan akan jurang pembangunan tamadun yang memisahkan di antara kulit hitam dan kulit putih, kulit putih dianggap sebagai mempunyai darjah ketamadunan yang tinggi dan mempunyai nilai ketuanan yang tidak boleh dipersoalkan, berbanding dengan kulit hitam.

Hakikat inilah yang ingin digambarkan di dalam novel Alex Haley, Roots: The Saga of an American Family. Perkauman, boleh menjurus kepada perhambaan. Pemikiran perkauman adalah pemikiran yang berteraskan keagungan dan penguasaan bangsa yang membawa kepada diskriminasi serta penafian hak, walau pun telah termaktub dalam dokumen bertulis.

Realiti politik Malaysia kini, agak ketara unsur perkauman telah dijadikan subjek untuk membina pengaruh bagi mendominasi kuasa, perkara ini sukar untuk dinafikan, apabila UMNO dan PAS telah menjadikan wacana ketuanan Melayu, mengapi-apikan sentimen keagungan Melayu, sehingga membelahkan realiti sosial berdasarkan kelompok masayarakat kaum pendatang dan masyarakat kaum pribumi.

Mewujudkan gelombang pemikiran etniksitisisme, membina perspektif pandangan dunia dalam konteks kebencian terhadap kaum, khususnya masyarakat keturunan Cina. Apa sahaja isu yang wujud dalam konteks tingkah laku sosial etnik Cina, maka dipandang dalam realiti sudut perkauman.

UMNO dan PAS dalam usaha untuk memanjangkan jangka hayat politik mereka seringkali membangkitkan tema yang berunsur perkauman dalam gerak ucapan politik. Cenderung untuk membina blok Melayu dan blok bukan Malayu, konon atas dasar “negara ini adalah negara Melayu.” Kononnya itu adalah fakta sejarah. Soalnya bukankah sejarah juga telah mengubah realiti struktur sosial Malaysia?

Kegusaran terhadap pemikiran perkauman yang cuba disuntik oleh Umno dan Pas  ini telah mendapat kenyataan balas daripada Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, antara lain beliau menjelaskan “Jika Umno dan Pas  menyangka mereka boleh menang pilihan raya dengan menabur fitnah berbaur sentimen agama, saya ingin berpesan kepada kedua-dua parti ini janganlah mimpi di siang hari.”

Pas dan Umno merupakan antara pihak yang menjadi punca kepada pembenaman pemikiran masyarakat Melayu ke dalam lumpur perkauman. Perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, Richard Malanjun sebagai Ketua Hakim Negara dan perlantikan Lim Guang Eng sebagai Menteri Kewangan dijaja sebagai isu ancaman terhadap Melayu dan Islam, “Melayu tergugat dan Islam terancam,” tanpa mempeduli realiti sebenar sistem dan struktur pentadbiran negara.
Sebagai pihak yang kalah Umno dan Pas  cuba memaksa kehendak dan idea mereka diterima laksana dalam pentadbiran dasar-dasar negara, tindakan bertentangan dengan kehendak mereka, maka dianggap telah tidak lagi “membela Melayu” dan “tidak lagi menjaga Islam.”

Hakikatnya Umno dan Pas harus sedari bahawa mereka adalah pihak yang kecundang dalam PRU 14, maka adalah menjadi hak pihak yang menang untuk mentafsir bentuk dan kaedah yang perlu digunapakai dalam mengurus negara selagi tidak bertentangan dengan kehendak Perlembagaan.

Realitinya Perkauman itu merupakan ideologi intelektual yang didasarkan kepada keunggulan moral berasaskan ciri-ciri biologi bangsa. Ini bermakna perkauman secara tipikal berkecenderungan untuk membentuk diskriminasi sosial berasaskan tanggapan hirarki keunggulan dan kejelekan bangsa.

Penyebaran pemikiran sebegini amat merbahaya dalam konteks situasi masyarkat Malaysia yang terbina atas dasar kepelbagaian bangsa dan etnik serta perbauran budaya. Ancaman terbesar adalah pertembungan modal sosial, mengakibatkan berlakunya konflik sosial yang mencetuskan kerosakan dan kemusnahan hubungan sosial. Suasana sebeginilah yang dibimbangi Francis Fukiyama dalam tulisannya The Great Disruption: Human Nature and the Reconstitution of Social Order.

Harus disedari bahawa ideologi perkauman merupakan doktrin yang mengungkit soal hal-hal yang berkaitan dengan perbezaan bangsa dalam aspek perwatakan dan kecerdasan, menekankan keunggulan atau kelebihan sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain serta berusaha dalam pelbagai bentuk tindakan untuk mengekalkan ketulenan bangsa.

Secara tidak langsung realiti pemikiran ini sememangnya wujud dan dapat dikesani dalam tindak tanduk politik yang digerakkan oleh PAS dan UMNO. Bahkan juga, pemikiran perkauman hakikatnya tidak terhindar daripada doktrin yang berhubungan dengan kejelekan asal usul dan kesialan bangsa.

Sebagai satu usaha untuk membebaskan diri daripada keterikatan dengan ideologi perkauman, maka harus difahami akan ciri-ciri khusus yang membentuk pemikiran perkauman, iaitu; perkauman berpaksikan kepercayaan terhadap kewujudan perbezaan biologikal bangsa atau kumpulan secara mutlak; berpegang kepada fahaman berdasarkan pembahagian hak-hak berlandaskan kedudukan superioriti dan inferioriti; menjadikan sentimen emosi tertanam secara kukuh dalam bentuk intrinsik dan bersifat semulajadi sebagai proses indoktrinasi dan secara tipikal berterusan menggunakan sentimen perkauman sebagai asas untuk memperkukuh tindakan diskriminasi, pemisahan atau menafikan hak-hak yang dikaitkan dengan kedudukan sesuatu bangsa.

Tegasnya, Dinesh D’ Souza menyimpulkan bahawa perkauman merupakan hasil ketidakwarasan antipathy.