Malaysia Dateline

Perkauman semakin mendongakkan kepala?

Apakah perkauman semakin mendongakkan kepalanya di Malaysia, berbanding zaman lalu?

Sering kali persoalan ini dilontarkan, dijadikan topik kajian, atau diskusi, memandangkan Malaysia sebuah masyarakat berbilang kaum, agama, budaya, bahasa dan sebagainya.

Bagi generasi yang lahir sekitar zaman kemerdekaan, tidak kurang yang menyimpan nostalgia keharmonian hubungan antara kaum seketika dahulu, sekurang-kurangnya sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, yang dianggap lebih erat dan mesra berbanding sekarang.

Saya kurang pasti, kerana saya lahir pada tahun 1980-an, jadi mustahil saya merasai sendiri suasana masyarakat sebelum 1980-an.

Cuma sepanjang 1990-an, dengan pembangunan ekonomi yang pesat, gagasan Wawasan 2020, malah suasana masyarakat selepas pasukan badminton Malaysia merampas semula Piala Thomas pada tahun 1992, generasi saya sememangnya menyimpan sebuah impian, bahawa “Malaysia boleh” berjaya sebagai masyarakat majmuk yang aman dan makmur di persada antarabangsa, lantas diteladani dunia.

Malah, setelah mengharungi Tsunami Politik 8 Mac 2008, ditambah dengan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, kami semakin yakin bahawa Malaysia mampu membuka lembaran baru dalam sejarah, membebaskan diri daripada kepompong politik perkauman dan fahaman agama sempit.

Rakyat tanpa mengira kaum dan agama telah sedar bahawa retorik perkauman dan agama sekadar taktik untuk memecah-belahkan kita, tatkala kita bersatu untuk menuntut sebuah kerajaan yang bersih, amanah, adil, cekap dan berkesan.

Ironinya, semangat persaudaraan dan kekitaan ini semakin luntur setelah pertukaran kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018. Mungkin tiada waktu pemisah yang jelas bila ia berlaku.

Malah bagaimana ia berlaku pun, belum dikenalpasti puncanya. Apa yang pasti, ia tidak berlaku sekelip mata, dan ia tidak berlaku hanya kerana satu sebab, atau lantaran angkara seseorang.

Jawapan klise kepada persoalan ini adalah, “politikus yang buat hal, rakyat di bawah okay saja” – seolah-olah rakyat jelata tidak terlibat untuk mengeruhkan situasi.

Tidak dinafikan bahawa politikus mempermainkan sentimen perkauman dan agama untuk agenda politik masing-masing, tetapi mustahil motif mereka tercapai, seandainya masyarakat menolak sepenuh politik lapuk ini.

Dengan kata lain, politikus sedang mempergunakan kelemahan manusia sebagai batu loncatan dalam kerjaya mereka. Dan kita pula rela diperkudakan, sedar ataupun tidak.

Cuba bayangkan, apabila berlakunya kes “pelanggan menghina kalimah Allah”, apakah reaksi kita?

Pertama, secara spontan kita rasa tercabar, mengiyakan tindakan untuk membelasahnya sebagai pengajaran kepada semua agar tidak diulangi perkara sebegini.

Kedua, meneliti apa yang berlaku sebenarnya, termasuk keadaan mental si pelanggan, kemudian tepuk dada tanya selera, apakah reaksi kita, andainya ia datang daripada seorang muslim-Melayu?

Apakah kita juga terpanggil untuk “mengajar” dia sedemikian rupa? Atau ada pendekatan lain untuk menyelesaikan masalah ini? Hakikatnya, ramai yang cenderung kepada reaksi pertama, berbanding reaksi kedua.

Pola kecenderungan ini boleh diperlihatkan dalam media sosial, jikalau dibandingkan hantaran yang berapi-api seperti reaksi pertama, dengan hantaran yang rasional seperti reaksi kedua, dari segi angka like, comment dan share-nya.

Harus diingatkan bahawa dalam dunia media sosial, ada hukumnya, iaitu semakin tinggi angka reaksi dan interaksi, semakin luas penularan hantaran tersebut. Bagi mereka yang mencari rezeki dengan angka-angka ini, agak-agak apakah kandungan yang bakal dimuat naikkan?

Sudah tentu hantaran yang paling mudah menarik perhatian, lagi baik jikalau mencetuskan konflik, agar datang berpusu-pusu pengguna media sosial lain untuk terlibat menghangatkan konflik itu.

Lama-kelamaan, suara dan pandangan yang keras, berkumandang dan melantun-lantun di persekitaran kita, seolah-olahnya ianya arus perdana, menenggelamkan suara-suara untuk mengangkat rasional, muhasabah diri dan keharmonian.

Lebih parah, apabila media tradisional yang hilang halatuju dalam ledakan teknologi maklumat ini, juga terikut-ikut dengan rentak media sosial, untuk merebut sisa rezeki daripada angka hits dan view, setelah angka kelarisannya jatuh menjunam.

Maka satu kitaran negatif terbentuk. Kita terus sesat ketika mengendalikan maklumat. Sesiapa sahaja boleh berkata apa sahaja menggunakan peranti komunikasi. Boleh sahaja seorang budak tua yang ketagih perhatian merakamkan satu video dengan kenyataan yang ekstrem dan radikal, terus ditularkan dalam dunia media sosial, dalam kumpulan saudara-mara, alumni sekolah rendah, dan sebagainya.

Media cetak pula menjadikan ia tajuk berita yang sensasi, menemuramah pemimpin parti, NGO untuk mendapatkan reaksi mereka. Ia mungkin kenyataan rasis yang bodoh, cetek dan simplistik, tanpa asas yang kukuh, tetapi ditonjolkan seolah-olah ia mewakili suara arus perdana.

Impaknya bergolek-golek. Politikus oportunis menyiram minyak ke dalam api, sementara ahli politik yang beridealisme pula takut dibadai seandainya menongkah arus.

Akhirnya, gelombang rasisme mengombak, melambungkan suara perkauman, dan menenggelamkan suara rasional yang mendukung keterbukaan dan toleransi.

Fenomena inilah yang sedang berlaku sekarang, dan mungkin juga berlaku pada zaman 1980-an dan 1990-an andainya memiliki teknologi maklumat secanggih hari ini.

Hakikatnya, kontroversi yang sama seperti isu sekolah jenis kebangsaan, UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) telah wujud sejak awal lagi, namun tidak meletus pada ketika itu.

Saya yakin bahawa semestinya ada juga suara-suara yang keras daripada kedua-dua pihak dalam isu tersebut, cuma terpaksa dipendamkan kerana kurang saluran untuk diketengahkan, apatah lagi ditularkan.

Apakah kita harus kembali kepada cara lama, iaitu mengharamkan saluran-saluran agar mereka yang menggembar-gemburkan sentimen perkauman dan agama sempit hilang pentas untuk menularkan ucapan benci dan dengki?

Tidak, saya membantah jikalau kebebasan bersuara dicengkam oleh kerajaan, kerana ia terdedah kepada risiko penyalahgunaan kuasa oleh politikus untuk memadamkan suara yang tidak memihak kepada kepentingan dirinya.

Namun, masyarakat sivil perlu melakukan sesuatu untuk menangani fenomena ini. Kita harus mengawal diri daripada menyumbang kepada angka like dan share, iaitu punca rezeki mereka yang menabur benih perkauman.

Kita harus lebih peka dan celik untuk menggunakan media sosial – menyemak fakta, membezakan antara pandangan dengan fakta, menimbang sejauh mana nilai sesuatu kandungan, menapis kandungan yang mengarut dan sebagainya.

Saya tidak berhasrat mengajak kalian untuk mengasingkan diri dari alam realiti. Dunia tidak harmoni selama-lamanya, dan kebanyakan masanya sarat dengan konflik yang meruncing.

Tetapi kita bertanggungjawab mengubah realiti, agar ia menjadi lebih ideal, bermula dengan memecahkan kitaran negatif sebagaimana yang disebut di atas.

Hanya apabila kita mengangkat rasional dan keterangkuman (inklusif), meminggirkan perkauman dan agama sempit, kita boleh mewujudkan satu suasana yang lebih selesa untuk semua.

Moga-moga dengan usaha sedemikian, kepala perkauman boleh ditundukkan satu hari akan datang.