Perkembangan terkini 1MDB : Rakyat perlu lebih prihatin

Perkembangan terkini 1MDB : Rakyat perlu lebih prihatin

 

Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salahgunakuasa Perkasa, memandang serius dakwaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengenai 1MDB seperti yang siarkan oleh rangkaian-rangkaian berita terkenal seluruh dunia pada 20 Julai lalu.

Kerajaan Amerika Syarikat mahu menyita aset bernilai lebih USD1 billion dari 1MDB sebagai hasil dari penyalahgunaan dana bernilai USD3.5 billion oleh 1MDB.

Kerajaan AS mendakwa bahawa USD1 billion dari 1MDB tersebut telah dialir ke dalam bidang perhotelan, hartanah mewah seperti kawasan Manhattan, Beverly Hills dan London.

Ia turut digunakan untuk mendanai karya seni lukisan, jet peribadi dan filem dari Hollywood arahan anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz yang bertajuk “Wolf of Wall Street”.

Kenyataan media berkenaan skandal 1MDB dari pihak kerajaan AS tersebut disiarkan secara langsung melalui satu sidang media khas.

Dakwaan secara terbuka oleh salah satu agensi kerajaan negara asing seperti AS ini boleh mencemarkan maruah serta reputasi Malaysia di pentas dunia lebih-lebih lagi jika tiada sebarang usaha serius diambil bagi membuktikan semua dakwaan tersebut adalah fitnah semata-mata.

Sejak dari awal lagi pihak Perkasa menyokong agar Datuk Seri Mohd Najib Razak menyaman mana-mana pihak termasuk portal berita luar negara yang cuba mengaitkan nama beliau dalam dakwaan skandal 1MDB tersebut.

Dalam masa yang sama Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salahgunakuasa Perkasa tetap istiqomah dalam mendesak supaya diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1MDB ini dari pelbagai sudut dengan lebih adil, terbuka dan bebas.

Pihak Perkasa juga mahu agar laporan audit terhadap 1MDB tidak diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) supaya rakyat negara ini mengetahui kebenarannya.

Timbalan Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) USA, Andrew Mc Cabe ketika membuat kenyataan media telah berkata “rakyat Malaysia ditipu dalam skala yang besar”.

Dan penyitaan aset 1MDB oleh pihak Unit Anti Korupsi Jabatan Keadilan USA tersebut merupakan yang terbesar dalam sejarah negara tersebut.

Penyitaan aset 1MDB tersebut secara tidak langsung bagaikan menyita aset negara Malaysia di luar negara kerana 1MDB merupakan syarikat pelaburan yang dinaungi kerajaan Malaysia yang melibatkan dana negara (wang rakyat Malaysia) yang digunakan oleh 1MDB tersebut kononnya untuk aktiviti pelaburan.

Kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertindak tegas bagi menghalang sebarang bentuk penggadaian aset negara kepada pihak asing walaupun aset tersebut tidak berada dalam negara. Ini kerana sebarang penggadaian aset 1MDB oleh kuasa asing hanya akan merugikan ekonomi negara dan rakyat Malaysia secara umumnya.

Para pegawai penyiasat dari AS  juga mengakui bahawa siasatan mereka terhadap skandal 1MDB ini turut dibantu oleh SPRM yang dikatakan telah menunjukkan “tahap keberanian luar biasa” untuk bersama menyiasat skandal tersebut.

Pihak pendakwaraya dari AS menambah bahawa setebal 130 muka surat telah dihasilkan bagi memberi gambaran jelas mengenai penipuan yang melibatkan 1MDB sejak dari awal penubuhan syarikat tersebut dalam tahun 2009. Laporan itu juga menyatakan bahawa dalam tahun 2009-2011, sebanyak USD1 billion  telah dialirkan ke syarikat di Seychelles bernama Good Star Ltd yang dimiliki oleh Jho Low, usahawan kewangan yang juga orang kepercayaan kepada PM Malaysia selaku ahli lembaga penasihat 1MDB.

Laporan tersebut menambah Jho Low terlibat dalam urusan pembelian aset mewah di AS melibatkan sebahagian dana dari 1MDB bernilai USD1 juta. Manakala sebahagian lagi dana 1MDB dikatakan mengalir kepada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui seorang Putera Arab Saudi.

Kenyataan terbaru dari pihak Kerajaan AS ini sekali lagi membuktikan bahawa dakwaan bekas PM Malaysia, Tun Dr. Mahathir tentang wujudnya salahlaku serta korupsi dalam 1MDB mempunyai asasnya.

Dalam masa yang sama Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salahgunakuasa Perkasa hairan bagaimana Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin seolah-olah tidak menjumpai sebarang bukti salahlaku serius bagi membolehkan individu-individu yang terlibat dengan skandal 1MDB tersebut diheret ke muka pengadilan.

Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salahgunakuasa Perkasa  juga menyeru rakyat Malaysia agar prihatin dengan isu yang melibatkan 1MDB ini kerana ia melibatkan kepentingan ekonomi negara jangka panjang, lebih-lebih lagi setelah terdapatnya dakwaan bahawa 1MDB menggunakan khidmat syarikat milik Yahudi Jerman, Goldman Sachs Group Inc untuk mendapatkan dana tambahan melalui bon bagi menyelamatkan syarikat pelaburan terkait Kerajaan Malaysia tersebut.

Penulis Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman adalah Setiausaha Biro Integriti, Anti-Rasuah & Salahgunakuasa,merangkap Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).