Perkeso keluar lebih 400 surat amaran kepada pemandu teksi, e-hailing

Perkeso keluar lebih 400 surat amaran kepada pemandu teksi, e-hailing

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengeluarkan 405 surat amaran kepada pemandu teksi, e-hailing dan bas persendirian yang masih gagal mendaftar serta mencarum dengan pertubuhan berkenaan.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata mereka yang telah menerima surat amaran menerusi Ops Patuh bermula awal bulan ini perlu segera mendaftar dengan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (SPS) dalam masa tujuh hari atau berdepan tindakan kompaun RM4,000.

“Sekiranya mereka gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan maka tindakan pendakwaan akan diambil mengikut Seksyen 11 Akta Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri 2017 iaitu jika sabit kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau melebihi 2 tahun penjara atau kedua-dua sekali.

“Sekali lagi ingin ditekankan bukan hasrat Perkeso dan kerajaan untuk menyusahkan pemandu (teksi dan e-hailing) tetapi ini demi kebajikan mereka dan keluarga mereka. Perkara ini telah berlarutan dari 2017,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohammed Azman berkata bagaimanapun pihaknya masih lagi memberi peluang kepada mereka yang masih belum mendaftar di bawah SPS untuk tampil berbuat demikian secara sukarela.

Katanya Perkeso akan terus menggandakan usaha untuk mengesan pemandu yang masih belum berdaftar dan membuat caruman.

Mohammed Azman berkata dianggarkan terdapat lebih 300,000 pemandu dalam kumpulan itu di seluruh negara namun hanya 50,801 individu yang telah mencarum sehingga ini.

SPS yang mula dikuatkuasakan pada Jun 2017 antaranya memberi perlindungan kepada pencarum daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan selain menyediakan faedah tunai serta kemudahan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata seramai 25,891 pencarum Perkeso yang hilang keupayaan dan mempunyai masalah kesihatan tidak kronik telah berjaya mendapat pekerjaan semula melalui program Return to Work sejak dilancarkan pada Januari 2017.

Tambahnya, Perkeso akan membuat pameran empat hari di Pameran Pendidikan Khas Antarabangsa 2019 bertempat di Menara Matrade di sini bermula 29 Ogos ini bagi memberi pendedahan tentang peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya,– BERNAMA