Malaysia Dateline

Perketatkan kemasukan pelancong dari China ke Sarawak

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Pending, Violet Yong (gambar atas) menggesa agar kerajaan mengawal dan memperketatkan lagi kemasukan pelancong dari China ke Sarawak.

Katanya, ini berikutan tersebarnya wabak coronavirus dari Wuhan, China ke negara ini sejak beberapa hari lalu.

“Saya berharap kerajaan terus mengambil langkah drastik dengan mengawal pintu masuk terutamanya di lapangan terbang di seluruh negeri bagi mengekang penularan wabak berkenaan,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 di Kuching semalam.

Menurutnya, pemeriksaan ketat di semua pintu masuk mesti dilaksanakan setiap masa seperti langkah sama yang diambil ketika negara berdepan dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini.

“Setakat ini, saya telah dimaklumkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telahpun mengaktifkan semua saringan di pintu masuk di lapangan terbang antarabangsa dan negeri,” jelas Violet.

Dalam pada itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi kenyataannya berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang pintu masuk utama di seluruh negara susulan penularan wabak koronavirus di Wuhan, China.

“Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB bersama-sama agensi dan syarikat penerbangan berkaitan mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko pendedahan diminimumkan untuk keselamatan semua, khususnya kepada penumpang dan kakitangan yang bekerja di terminal,” tegas kenyataan itu.

Jelasnya lagi, salah satu langkah yang diambil pihaknya dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah menyediakan pemeriksaan kepada penumpang dan kru penerbangan dari China.

Malah tambahnya, Malaysia Airpotrs turut menyediakan kawasan penjagaan kesihatan khas sekiranya ada penumpang yang memerlukan prosedur kuarantin dan mengurangkan risiko ia merebak.

“Pengumuman awal juga diberi kepada penumpang dan menggalakkan mereka mengisytiharkan tahap kesihatan,” ujar kenyataan itu lagi.