Perkhidmatan Awam jangan khianat

Perkhidmatan Awam jangan khianat

SEORANG pembahas yang menggunakan nama samaran “Anti pengkhianat” yang mengulas dalam tampalan “Jangan tawar-menawar dengan lembaga pengarah GLC/GLIC”, antara lain berkata:

“Dengarnya bekas pegawai khas ksp sekarang bertugas di pejabat PM?

“Dengarnya lagi pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang menyokong kepimpinan lalu dan dinaikkan kerana menyokong kepimpinan lalu masih berleluasa menasihati menteri kerajaan yang baru bak semut menghurung gula.

“Apa kerajaan baru akan buat untuk menangani pegawai-pegawai yang telah mencemarkan nama baik perkhidmatan awam secara keseluruhannya?”

Saya yakin ada kebenaran dalam hujah pembahas “Anti pengkhianat” itu dan saya amat percaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pun tahu hal ini.

Tetapi kita kena berprasangka baik bahawa manusia boleh berubah. Yang mana kesalahan mereka tidak terlalu besar dan tidak mengancam keselamatan atau merugikan negara, kita terima sajalah.

Kita cam siapa mereka, kita beritahu apa yang mereka lakukan sebelum ini salah dan nasihatkan agar mereka berkhidmat dengan setia dan tekun demi negara dan rakyat jelata.

Kita nasihatkan mereka jangan ikut resmi anjing walaupun tidak makan najis tapi hidu tetap hidu. Kalau pisang berbuah dua kali, kita tadah tangan bersyukur kepada Tuhan kerana melakukan keajaiban dan memberikan kita rezeki tambahan.

Yang kita tidak mahu adalah melepaskan anjing tersepit. Bila terlepas kita pula diserang dan digigitnya. Lagilah parah jika ditakdirkan anjing yang kita tolong itu anjing gila.

Sekarang banyak anjing jenis itu bising menyalak dalam media arus perdana dan media sosial seolah-olah masih diberi makan oleh tuan lama mereka. Atau boleh jadi juga mereka menyalak kelaparan.

Saya cadangkan kepada pihak berkuasa pencegahan rasuah dan percukaian tolong tengok dari mana mereka ini dapat duit untuk hidup senang dan terus menyalah melalak.

Adalah mustahil bagi Dr Mahathir dan kabinetnya mengesan semua pengkhianat dan penjenayah peninggalan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN), menamatkan perkhidmatan mereka dan menghadapkan mereka ke muka pengadilan.

Seperti yang kita baca, lihat dan dengar daripada laporan media massa, sudah banyak pegawai seperti itu telah meletak jawatan, bersara atau ditukarkan.

Tetapi adalah mustahil menapis setiap orang daripada kira-kira 1.6 juta kakitangan awam dan mengambil tindakan ke atas mereka. Lagipun bukan semua mereka terlibat secara sukarela menjadi tali barut atau boneka kerajaan dahulu.

Yang terang-terang bersubahat dan terbabit dalam politik BN seperti berkempen untuk calon-calon BN sehingga sanggup naik pentas dan menari macam kera kena belacan atau orang mabuk todi sudah pun ditamatkan perkhidmatan.

Harap jangan ada musang berbulu ayam di kalangan mereka.

Memang betul ada lagi saki-baki yang bersubahat dengan kerajaan lama, termasuk yang melakukan penganiayaan serta pengkhianatan terhadap Pakatan Harapan (PH) masih memegang jawatan penting.

Malah pada pandangan umum, ada kalangan mereka yang seolah-olah menjadi orang kanan dan orang kepercayaan Perdana Menteri dan kerajaan PH.

Ini tidak benar. Walaupun mereka masih berkhidmat dan nampak rapat dengan Perdana Menteri serta kerajaan, kita tahu siapa mereka dan apa yang mereka lakukan sewaktu pemerintahan OKT Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bermaharajalela. Mereka ini tidak akan diampunkan semudah itu.

Tetapi demi kelancaran pentadbiran negara dan supaya tidak meneruskan kerosakan ke atas perkhidmatan awam, kita terpaksa bersabar, berlapang dada dan secara arif menerima mereka.

Kerosakan yang berlaku kepada perkhidmatan awam adalah sebahagian kecil sahaja daripada kerosakan sistematik dan menyeluruh yang dilakukan oleh pemerintahan Najib ke atas institusi-institusi utama negara.

Sebab itulah PH menjadikan reformasi institusi sebagai salah satu keutamaannya.

Yang bersalah wajib dihukum sama ada melalui tindakan disiplin atau jika kesalahan mereka berbentuk jenayah, dihadapkan ke muka pengadilan.

Cuma bukanlah mudah untuk melaksanakan tindakan disiplin dan undang-undang ini kerana bilangan yang terlibat dan cara mereka bersubahat dengan kerajaan BN adalah berbeza dan berperingkat.

Keutamaan terpaksa diberikan kepada yang jelas melakukan rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ini telah pun dimulakan dengan menghadapkan ketua kepada segala ketua kerajaan yang mencuri, Mohd Najib, ke muka pengadilan.

Dalam kita bersangka baik, kita terpaksa akui bahawa yang jahat tetap jahat dan watak seperti itu ada dalam perkhidmatan awam.

Saya dimaklumkan tentang seorang ketua jabatan yang “terpaksa” meletak jawatan, telah melantik beberapa orang kanannya untuk mengisi jawatan utama sebelum dia berundur.

Apabila ketua baru masuk dia mendapati semua jawatan penting baru saja diisi oleh ketua lama. Dan ikut cerita, ketua yang berhenti itu menubuhkan syarikat perundingan dengan harapan mendapat bantuan daripada anak buah yang dilantiknya.

Saya juga mendengar ada sampai 1,000 kes yang melibatkan rasuah, penyelewengan, pecah amanah, salah guna kuasa dan kecuaian tugas telah dikesan oleh kerajaan sehingga kini.

Jadi bukanlah mudah bagi kerajaan untuk menyelesaikan segala masalah dan menunaikan semua janji dalam masa 100 hari atau setahun.

Serentak itu hal-hal berkaitan kebajikan rakyat jelata dan keselamatan negara wajib ditangani setiap hari dan setiap masa dalam suasana di mana kedudukan kewangan negara yang ditinggalkan oleh kerajaan lama dalam keadaan kucar-kacir.

Cuma saya berharap menteri-menteri lebih jelas dan pantas bertindak meringankan beban rakyat jelata dan memacu pemulihan ekonomi supaya Malaysia Baru yang rakyat jelata bayangkan itu menjadi kenyataan.

Tak payahlah berlebih sangat berebut jabatan dan agensi. Jangan sampai dituduh cuba membina empayar atau pentingkan diri sendiri. Silalah buat kerja demi rakyat jelata.

Wallahuaklam.

CATEGORIES