Perkhidmatan Awam tercalar kerana gejala politik, rasuah, kata KSN

Perkhidmatan Awam tercalar kerana gejala politik, rasuah, kata KSN

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Ismail Bakar  berkata, sektor perkhidmatan awam di negara ini sedikit tercalar apabila penjawat awam terbabit dengan politik pemerintah sama ada pembangkang atau kerajaan semasa.

Beliau  kini sedang melakukan proses pembersihan dalam perkhidmatan awam supaya sektor itu dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada semua kakitangan awam.

“Sistem perkhidmatan awam di Malaysia telah diiktiraf antara yang terbaik. Cuma apabila anggota perkhidmatan awam terbabit dalam kancah politik dan rasuah dalam perkhidmatan awam ia memburukkan keadaan.

“Era kerajaan baharu ini menekankan kepada integriti dan usaha pembersihan amalan rasuah yang dikatakan berlaku dalam perkhidmatan awam sebelum ini.

“Usaha ini telah diarahkan oleh Perdana Menteri dan kita akan lakukan pembersihan dalam perkhdimatan awam untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dan ia juga adalah salah satu manifesto yang dibuat oleh kerajaan semasa.

“Ini merupakan hala tuju baru kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam menangani masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu,”ujarnya  dalam program suai kenal Ketua Setiausaha Negara  bersama  media yang diadakan di Banglo Transit Putrajaya, hari ini.

Ismail yang baru dilantik pada 29 Ogos lalu mengantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa tidak menafikan gejala rasuah membabitkan kakitangan awam berlaku walaupun ia bukan  membabitkan seluruh kakitangan.

Beliau turut berkata, sejak awal tahun ini kakitangan awam yang terbabit rasuah berkurangan kepada 200 orang bersandarkan kepada kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

” Bagi mengurangkan gejala rasuah ini kita merancang untuk mengadakan latihan kakitangan penjawat awam, mengamalkaan  ‘Good Governance’ , selain memberikan garis panduan dari masa ke semasa,” ujarnya yang bercakap kepada 20 orang pengamal media yan hadir.

Beliau  juga ditanya mengenai visi dan misinya untuk mentadbir kakitangan awam , beliau menjelaskan,  mahu  memastikan legasi pentadbiran awam yang diketuainya kini akan lebih baik, berintergriti dan bermutu di masa depan.

“Jika ingin melihat masa depan negara, kita kena melihat sejauh mana kejayaan perkhidmatan awam dapat dilaksanakan di sesebuah negara. Saya ingin meninggalkan legasi perkhidmatan awam yang terbaik,” ujarnya.

 

Datuk Seri Ismail Bakar (ditengah kiri) bergambar bersama media pada program suai kenal KSN dengan media yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Pertindihan tugas agensi dan jabatan kerajaan

Beliau turut ditanya mengenai pertindahan agensi dan jabatan di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri kini dalam proses penyusunan semula.

“Masa ini kita dalam proses menyusun agensi dan jabatan kerajaan sama ada untuk diletakan dalam kementerian yang relevan. Fasa kedua dalam tempoh 6 bulan ini kita melihat kepada agensi dan jabatan yang bertindih sama ada perlu diselaraskan atau dimansuhkan,” ujarnya.

Kebebasan bersuara penjawat awam

Ismai,58 yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam pentadbiran awam di negara ini berkata, beliau tidak akan menyekat mana-mana kakitangan awam untuk menyuarakan pandangan atau kritikan mereka di media sosial.

Ini kerana ia selari dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan yang memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat dan media.

Bagaimanapun Ismail menegaskan kakitangan awam perlu berpegang undang-undang dan peraturan perkhidmatan awam.

“Mereka ada tulang belakang kepada perkhidmatan awam ‘political neutrality’ amat penting.

” Kalau melibatkan gred B ke bawah mendapat kelulusan kepada pegawai atasan mereka untuk terbabit dalam mana-mana jabatan politik.

“Bagi kakitangan awam gred A mereka tidak dibenarkan memegan mana-mana jawatan politik kecuali ahli biasa. Guru dibenarkan tetapi bersyarat,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, JPM Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan JPM Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Timbalan KSU Pengurusan JPM Datuk  Junaidah Kamaruddin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS