Perkhidmatan bas ‘GoKL’ akan diperluas ke Parlimen Setiawangsa, Lembah Pantai

Perkhidmatan bas ‘GoKL’ akan diperluas ke Parlimen Setiawangsa, Lembah Pantai

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperluaskan rangkaian perkhidmatan bas ‘GoKL’ di Parlimen Setiawangsa dan Lembah Pantai menjelang Februari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pihaknya mendapati ada keperluan untuk menambah laluan perkhidmatan bas percuma itu ke kawasan-kawasan projek perumahan rakyat (PPR) terutama di kedua-dua kawasan Parlimen itu.

“Ia juga dapat mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah terutamanya penduduk PPR supaya mereka dapat memanfaatkan pengangkutan awam percuma itu untuk bergerak.

“Kami menjangkakan laluan tambahan perkhidmatan bas ‘GoKL’ itu dapat dilancarkan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Feb ini di kedua-dua Parlimen itu sebagai kemudahan tambahan kepada warga kota,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan lalu lintas di Jalan Kerinchi di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Mahadi Che Ngah dan Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Nor Hisham berkata pihaknya juga bercadang untuk membina sebuah tempat letak kereta bertingkat bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas kritikal di Pantai Dalam dan kawasan sekitar.

“Cadangan pembinaan parkir bertingkat itu masih dalam perbincangan, kami sedang berusaha untuk mengatasi masalah parkir haram di bahu jalan yang menyebabkan kesesakan jalan raya secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata selain perancangan rapi oleh pihak pemaju dengan DBKL, keputusan secara situasi menang-menang perlu dicapai memandangkan ia turut melibatkan pelbagai pihak termasuk peniaga, syarikat-syarikat korporat serta sekolah-sekolah di sepanjang Jalan Kerinchi dan kawasan Pantai Dalam.

“Kami bersedia untuk membuat ‘engagement’ bersama mereka, duduk berbincang supaya masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi dengan mudah,” katanya.

— BERNAMA