Perkhidmatan bas Nadiputra diarah beroperasi semula

Perkhidmatan bas Nadiputra diarah beroperasi semula

Menteri Wilayah mengarahkan agar bas Nadiputra yang dihentikan perkhidmatan semalam beroperasi segera.

Khalid Abdul Samad berkata, beliau mahu semua pihak terlibat khasnya Perbadanan Putrajaya, pemilik asal projek bas ini, agar operasi bas ini berjalan secepat mungkin.

“Saya telah mengarahkan semua pihak terlibat agar memastikan bas ini beroperasi semula dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media yang diadakan di bangunan Parlimen hari ini.

Bas Nadiputra, satu-satunya perkhidmatan bas di Putrajaya menghentikan khidmatnya semalam apabila pemandunya dikatakan mogok.

Ini berkutan tindakan pihak pengurusan bas itu menghentikan pemandunya yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuam Malaysia (SPRM) semalam.

Sekumpulan pemandu bas ini membuat laporan kepada SPRM kerana mendakwa berlaku salah laku dalam pengurusan bas ini.

“Jika pihak pengurusan memecat pemandu ini kerana membuat laporan SPRM, ini satu tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan yang memberikan hak kepada semua pihak untuk membuat laporan kepada polis dan juga SPRM,” kata Khalid.

Khalid berjanji akan menyiasat kes ini dan pihak-pihak berkaitan diminta membuat laporan segera kepada beliau.

Khalid juga meminta bantuan Kementerian Pengangkutan yang mengambil alih fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) untuk menyelesaikan isu ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata kementeriannya akan menyiasat perkara ini selepas mendapat maklumat awal daripada SPAD, badan yang telah dimansuhkan oleh kerajaan.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0