Malaysia Dateline

Bot penambang Sungai Perak yang digunakan penduduk untuk menyeberang

Perkhidmatan bot penambang Kuala Terengganu tidak menentu

Masa depan industri bot penambang di Kuala Terengganu kini tidak menentu  apabila semakin hari bilangan pengusaha semakin berkurangan dengan hanya 17 daripada 80 pengusaha sahaja yang masih bertahan.

Lebih memilukan, ekoran  pendapatan yang semakin berkurang kerana  kekurangan pelanggan, ramai di kalangan pengusaha yang menjual bot mereka kepada kepada pembeli di Tasik Kenyir, Pahang dan Kelantan kerana tidak mampu menanggung kos operasi.

Seorang pengusaha, Ali Muda, 72, dari Kampung Seberang Takir, berkata beliau  telah berkhidmat  membawa penumpang berulang alik dari Bandaraya Kuala Terengganu ke Seberang Takir sejak  lebih 50 tahun dan sepanjang tempoh itu terlalu banyak perubahan yang berlaku.

“Kalau dulu sehari boleh dapat sehingga  200 penumpang dan suasana juga sangat meriah kerana ramai rakan-rakan lain yang bawa bot menunggu di jeti untuk menghantar penumpang.

“Tetapi hari ini nak dapat 20 penumpang pun susah dan hanya bergantung pada peniaga  warga emas di Pasar Payang. Bayangkan kalau 20 orang sehari baru dapat RM20 kerana tambang sejak tahun 60-an hanya naik 80 sen iaitu daripada 20 sen ke RM1,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Bot Penambang di Seberang Takir di sini hari ini.

Bantuan diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berjumlah RM19,000 kepada 17 pengusaha bot penambang.

Mengulas lanjut, Ali  berkata dia mengambil keputusan untuk bersara dan menyerahkan tugas tersebut kepada anak saudaranya yang masih muda untuk meneruskan perniagaan tersebut yang menjadi warisan keluarga.

Rakannya, Harun Ismail, 70, dari Kampung Teluk Ketapang pula berkata beliau menjangkakan industri bot penambang akan menemui penghujungnya sedikit masa lagi memandangkan orang ramai mempunyai banyak alternatif lain seperti jalan darat dan juga persaingan daripada pengusaha bot seperti Pulau Warisan, Taman Tamadun Islam (TTI) dan sebagainya yang menyebabkan bot penambang semakin terpinggir.

Namun begitu, beliau masih meneruskan kerja tersebut pada usia yang sudah tua kerana ia sudah sebati dengan jiwanya selain tugas sebagai nelayan.

“Walaupun pendapatan semakin berkurang, saya bersyukur kerana dapat membesarkan sembilan anak dengan wang hasil bot penambang.

“Saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat selagi kudrat masih ada,” katanya.

Tambah beliau lagi, industri bot penambang akan semakin tenat apabila jambatan angkat  yang menghubungkan daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus siap tidak lama lagi.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan mencari jalan membantu pengusaha bot penambang supya dapat meneruskan perusahaan dan kehidupan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ariffin berkata pakej pelancongan Jejak Warisan Pesisir Air yang bakal diperkenalkan kerajaan negeri dengan melibatkan komuniti pengusaha bot penambang Kuala Terengganu diharap dapat membela nasib mereka.

Beliau berkata menerusi pakej tersebut, pelancong akan dibawa menyusuri Sungai Terengganu menggunakan bot penambang ke lokasi seperti Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Warisan, TTI , Pulau Duyong, Kampung Nelayan Seberang Takir dan Kampung Jeram.

Katanya, selain dapat menonjolkan keunikan budaya, seni dan warisan negeri kepada masyarakat luar, inisiatif itu juga dapat mentransformasikan  perkhidmatan bot penambang di samping mengembalikan kegemilangan perusahaan pengangkutan tradisi yang menjadi sistem perhubungan utama negeri suatu masa dahulu.

“Kita akan bermesyuarat bulan ini dengan pihak yang beekenaan untuk berbincang secara terperinci mengenai pakej tersebut termasuk keperluan untuk menaik taraf bot sedia ada.

“Saya percaya perkhidmatan bot penambang pelancongan akan menghidupkan Jejak Warisan Pesisir Air dan seterusnya membantu usaha menjenamakan negeri sebagai destinasi unggul yang berdaya maju dan  kompetitif berbanding destinasi lain di rantau ini,” katanya.

— BERNAMA