Perkongsian kos keselamatan, Korea Selatan sangkal kenyataan Trump

Perkongsian kos keselamatan, Korea Selatan sangkal kenyataan Trump

Pejabat Presiden Korea Selatan pada Rabu menafikan kemungkinan kenaikan dalam perkongsian kos untuk mengekalkan tentera Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan.

Kenyataan itu dikeluarkan sejam selepas Presiden Donald Trump mendakwa Seoul bersetuju untuk meningkatkan sumbangannya hampir dua kali ganda, lapor agensi berita Yonhap.

Trump turut dilaporkan berkata kos Seoul akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.

“Dalam rundingan terbaru tempoh perjanjian ditetapkan selama setahun, tetapi (perjanjian) boleh dilanjutkan setahun lagi jika kedua-dua pihak setuju (berbuat demikian),” kata jurucakap Pejabat Presiden, Kim Eui Kyeom dalam satu taklimat media.

“Oleh itu, masing-masing boleh membuat keputusan untuk mengekalkannya pada tahap semasa selepas menilai sama ada perlu meningkatkan kos, saya harap perkara itu tidak dijadikan sebagai fakta yang telah diputuskan,” katanya.

Dalam satu mesyuarat Kabinet pada Selasa (waktu Washington), Trump berkata Seoul bersetuju membayar tambahan US$500 juta sebagai sebahagian perjanjian perkongsian kos untuk 28,500 anggota tentera AS di Korea Selatan

“Mereka bayar kira-kira US$500 juta untuk perlindungan bernilai US$5 bilion. Dan kita perlu melakukan lebih baik daripada itu, jadi mereka bersetuju untuk membayar lebih US$500 juta lagi. Pada tahun-tahun akan datang jumlah itu akan meningkat,” kata Trump.

Bagaimanapun, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani oleh diplomat kedua-dua negara, bahagian Korea Selatan hanya meningkat kira-kira US$70 juta atau 8.2 peratus daripada US$850 juta kepada US$920 juta.

Kenyataan Pejabat Presiden jelas menggambarkan Korea Selatan menolak kenaikan itu.

— BERNAMA