Perkongsian kuasa Kerajaan Persekutuan, Negeri perlu dikaji semula

Perkongsian kuasa Kerajaan Persekutuan, Negeri perlu dikaji semula
Gooi Hsiao Leung

Gooi Hsiao Leung

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tengah Gooi Hsiao Leung berkata pihak berkaitan perlu meneliti semula Jadual 9 Perlembagaan untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada negeri dalam hal-hal seperti pendidikan, pengangkutan, kesihatan dan pengawalan polis.

“Pada masa ini kerajaan persekutuan mempunyai kuasa ke atas semua perkara penting, meninggalkan kerajaan negeri dengan kuasa yang sangat kecil,” katanya, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang,semalam lapor Bernama.

Beliau berkata walaupun mempunyai Exco negeri yang menjaga kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan portfolio lain, namun mereka tidak berkuasa sepenuhnya kerana semua struktur kawalan terletak pada kerajaan pusat.

“Justeru, walaupun kita bersemangat mahu mengembalikan semula Pasukan Peronda Sukarela (PPS), ia tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Selain itu, Gooi berkata terdapat keperluan mendesak untuk melihat semula cara dana persekutuan diagihkan kepada negeri-negeri yang sebelum ini dilakukan dengan cara yang tidak adil.

Beliau berkata selama 60 tahun, pentadbiran Barisan Nasional (BN) telah melayan negeri-negeri dengan tidak adil dalam perbelanjaan yang tidak seimbang serta pilih kasih negeri-negeri secara berlainan.

“Pulau Pinang pada masa lalu di bawah pemerintahan persekutuan BN dilayan seperti Cinderella, anak tiri yang diabaikan dan saya telah menuntut untuk mengakhiri sindrom Cinderella ini. Pulau Pinang mesti dianggap sebagai first among equals dengan negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.