Perkukuh akhlak elak rasuah untuk tonjol Rahmatan lil Alamin

Perkukuh akhlak elak rasuah untuk tonjol Rahmatan lil Alamin

Umat Islam diharap dapat kembali semula menitikberatkan soal akhlak, moral dan memperkukuh etika dalam dalam usaha menangani gejala rasuah dan membawa konsep Rahmatan lil Alamin.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana dikalangan umat Islam itu sendiri, rasuah itu nampak lebih ‘tolerate’ dalam dunia Islam di mana akauntabiliti itu pula semakin longgar.

Dengan itu katanya, kesemua aspek yang ditekankan sangat penting dalam membentuk umat Islam yang dihormati disamping mencerminkan nilai peribadi yang baik sekaligus mengelakkan diri daripada terjebak dengan perlakuan seperti  pengamalan rasuah.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson ini lagi, konsep ilmu keadilan dalam Rahmatan Lil Alamin yang sekarang giat dipopularkan Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusf  ujarnya  bukan ‘mazhab Mujahid’ seperti yang diperkatakan sebilangan pemimpin politik.

“Sebaliknya ia (Rahmantan Lil Alamain) dihebahkan sebagai satu pendekatan yang sangat wajar difahami oleh kita.

“Cabaran kita bukan sahaja untuk menjelaskan isu yang dihadapi rakyat seperti dadah tetapi masalah rasuah yang menjalar sehingga menghakis keyakinan dan perbuatan sahsiah keperibadian itu sendiri.

“Dalam fahaman saya, diantara permasalahan terbesar dihadapi oleh umat adalah kelemahan pentadbiran yang menyebabkan seluruh sistem itu longgar dan menghakis keyakinan,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mensantuni seorang peserta yang hadir pada Multaqa Ulama Asia Tenggara  yang diadakan di Sepang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Bicara Khas: Ilmuan Islam dan Visi Nahdah Asia Tenggara sempena Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Anwar turut berkata, negara sedang menghadapi kelompok orang Islam sendiri menyempitkan risalah Rahmatan lil Alamin sehingga memberi kesan kepada pendekatan dakwah yang ingin dilaksanakan.

“Dikalangan umat Islam sendiri, muncul sebahagian anggapan bahawa Islam itu adalah asing. Sebaik bicara tentang Islam, maka ia dikaitkan dengan Islamisasi , golongan yang tak toleran,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar  tetap yakin Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan memainkan peranan penting dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi nilai-nilai penting bagi umat Islam itu melalui pelbagai dakwah yang dilaksanakan.

Turut hadir Yang Dipertua Yadim Nik Omar Nik Aziz,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa. Majlis penutup multaqa dua hari ini disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 adalah rentetan dari oenganjuran Multaqa Ulama Sedunia yang telah dianjurkan kerajaan pada Julai tahun 2003.

Inisiatif dakwah antarabangsa ini kini dilanjutkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bagi menyediakan wadah pertemuan para ulama, ilmuwan dan aktivis Muslim di Asia Tenggara bagi menyumbang idea terbaik ke arah mewujudkan kemakmuran dan keamanan dalam masyarakat

Kehadiran perwakilan negara tahun ini  sebanyak tujuh buah negara di Asia Tenggara  terdiri dari Brunei, Indonesia, Singapura, Kemboja, Vietnam, Thailand dan tuan rumah Malaysia.