Malaysia Dateline

Perkukuh hubungan dua hala Malaysia – Mahmoud Abbas ucap tahniah kepada PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kesediaan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Palestin dalam perdagangan, hubungan sesama rakyat serta pendidikan.

Hal itu disuarakan Anwar semasa menerima panggilan telefon daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam yang menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Ahli Parlimen Tambun berkenaan yang berkongsikan detik itu di laman sosialnya, berkata beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk sentiasa bersama Palestin bagi memperjuangkan kebebasannya dari cengkaman Zionis Israel.

“Saya juga menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa rakyat Palestin dan menegaskan komitmen serta solidariti berterusan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel,” ujarnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, negara ini akan terus teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin.

Beliau berkata, Malaysia diterajuinya akan bersama dengan Palestin dalam memastikan keamananan, kebebasan dan kemerdekaannya dapat dikembalikan.