Malaysia Dateline

Perkukuh hubungan keluarga, peduli keperluan jiran

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru semua anggota masyarakat untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dengan melakukan pelbagai aktiviti dan ibadah secara bersama.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata tempoh Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) yang telah dilanjutkan untuk Fasa Ketiga sehingga 28 April ini turut perlu diisi dengan menyantuni keperluan jiran tetangga dan rakyat yang memerlukan.

“Sikap prihatin dan kepedulian tentang jiran dan rakyat yang berada dalam kesusahan adalah bersesuaian dengan maksud hadis Rasulullah SAW:

“Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan. (HR Thabrani: 12579).

“IKRAM percaya, PKP bukanlah penghalang untuk meneruskan visi Malaysia menjadi Negara Rahmah, sebaliknya ia telah membuka peluang yang luas ke arah mencapai visi tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu IKRAM sehingga kini telah menyumbang lebih RM300,000 termasuk puluhan ribu unit peralatan perlindungan diri (PPE) seperti pelindung muka (face shield) dan tudung pakai buang untuk pasukan kesihatan di seluruh negara.

“Bantuan makanan dan wang ringgit juga telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan, terutama melalui Yayasan IKRAM Malaysia yang digerakkan melalui i-Bantu,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Parid berkata, pihaknya menyeru kepada masyarakat dan ahli-ahli IKRAM agar terus prihatin.

“Manfaatkan peluang semasa PKP untuk menabur bakti kepada golongan yang memerlukan berdasarkan kemampuan masing-masing,” katanya lagi.

*Orang ramai boleh menyumbang melalui Yayasan IKRAM Malaysia melalui pautan http://yayasan.ikram.org.my/tabung-covid-19/ atau melalui akaun YAYASAN IKRAM MALAYSIA (Maybank 562142404402) dengan rujukan “Covid19” dan e-mel bukti pembayaran kepada [email protected]