Malaysia Dateline

Perkukuh muafakat, anggota PKR diseru hadir kongres nasional

Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan Timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali perlu disokong dalam usaha untuk memperkukuhkan kesatuan dan muafakat anggota PKR.

Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh berkata, kepimpinan kedua-dua tokoh tersebut amat dihargai dalam usaha bagi menyelesaikan segala kemelut yang telah berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Sehubungan itu ujarnya, keseluruhan pimpinan dan ahli PKR disaran supaya menyambut baik resolusi yang telah dicapai melalui perbincangan bagi mengembalikan tradisi dan konvensyen parti.

“Seluruh perwakilan dan pemerhati serta pergerakan sayap AMK mahupun Wanita Cabang seluruh negara serta kesemua pimpinan dan Ahli Jawatankuasa Cabang harus hadir bagi meraikan Kongres Nasional AMK dan Wanita pada 5 dan 6 Disember.

“Manakala Kongres Nasional ke-14 yang diadakan di Melaka itu juga harus didokong dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Dengan kesepaduan dan kesepakatan tersebut ia akan meletakkan PKR pada suatu kedudukan yang amat dihormati oleh rakan dan juga lawan,” jelasnya.

Menurutnya, keputusan yang telah dicapai bersama apabila Azmin melaksanakan perasmian pembukaan Kongres AMK dan Wanita telah berjaya menyelesaikan isu tersebut.

Jelasnya, perasmian penutup oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Penasihat PKR pada 6 Disember merupakan suatu tindakan bijak yang harus dipuji dan dihormati oleh semua pihak.

Sehubungan itu katanya, semua ahli parti dan juga pimpinan diseru supaya hadir beramai-ramai ke Kongres Nasional PKR yang akan diadakan di Melaka.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Dengan muafakat ia akan membawa berkat.

“Kesatuan yang diperlihatkan mampu untuk menangkis segala usaha musuh yang cuba memecahbelahkan kekuatan yang ada pada PKR,” tegasnya lagi.