Malaysia Dateline

Perkukuhkan pembangkang, seru Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH menggesa Pakatan Harapan (PH) untuk terus membina kesatuan pembangkang yang dianggap sebahagian daripada usaha semak dan imbang kepada perjalanan kerajaan hari ini.

Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi berkata, kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama empat lagi pimpinan Pakatan Harapan (PH) wajar diberi perhatian terutama berhubung pendirian mereka untuk tidak bermuafakat dengan kleptokrat ketika menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, adalah satu kelaziman bagi blok pembangkang untuk mengusahakan penyatuan bagi menghadapi mainan dan tipu helah kerajaan yang memerintah.

“Ini bertujuan memastikan hala tuju gabungan pembangkang menghadapi PRU15 tecapai, sekaligus berjaya membaiki sistem demokrasi negara.

“Hakikat yang perlu disedari, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang telah mencemarkan demokrasi negara.

“Adakah wajar pembangkang menuruti sikap kerajaan yang menggadai segalanya demi kuasa?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Lima pemimpin parti pembangkang menyeru agar Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sama sekali tidak bermuafakat dengan kleptokrat dalam PRU15.

Antara lima pemimpin tersebut Salahuddin Ayub; Ketua Wira, Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman; Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Senator Liew Chin Tong; Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Baru Bian dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Menerusi kenyataan bersama, mereka menegaskan bahawa blok besar oposisi perlu diperteguh dalam menangani krisis tiga serangkai iaitu ekonomi, kesihatan dan politik.