Malaysia Dateline

Perlantikan Adly akan kukuhkan AMANAH, kata penganalisis

Perlantikan Adly Zahari sebagai naib presiden AMANAH yang baharu akan mengukuhkan parti itu kerana beliau mempunyai track rekod yang sangat baik semasa menjadi Ketua Menteri Melaka dahulu.

ADLY ZAHARI… Naib Presiden AMANAH yang baharu.

“Walaupun hanya 22 bulan menjadi ketua menteri, hampir kesemua pihak menyokong beliau selaku ketua menteri bukan sahaja penyokong PH bahkan juga penyokong Umno dan Pas di Melaka,” kata pengalisis politik dari UTM, Dr Mazlan Ali.

Menurut beliau, semasa menjadi ketua menteri, Adly membuktikan beliau membuat dasar yang mesra rakyat, penyampaian (dilivery) yang baik dengan pentadbiran yang cekap.

Bagi Mazlan, Adly menunjukkan contoh seorang yang tokoh yang progresif dan mempunyai bakat kepimpinan yang baik.

“Dia kelihatan tenang dalam mengendalikan isu yang dihadapi dengan kurang bercakap tetapi kerja kuat,” kata beliau kepada Malaysia Dateline ketika mengulas perlantikan Adly selaku naib presiden AMANAH yang baharu.

Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan AMANAH nasional semalam melantik Adly sebagai Naib Presiden yang baharu bagi mengisikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Husam Musa yang meletakkan jawatan sebelum ini.

Tempat beliau sebagai bendahari AMANAH diambil alih oleh Ir Izham Hashim, Pengerusi AMANAH Selangor.

“Bila dia jadi naib presiden mengganti kekosongan yang dibuat oleh perletakan jawatan Datuk Husam, jawatan itu diisi oleh seorang yang sepadan,” kata Mazlan.

Bagi Mazlan, Adly adalah pimpinan masa depan AMANAH yang sangat baik.