Malaysia Dateline

Perlekeh Anwar, tahap kematangan politik Takiyuddin sangat rendah, kata AMK

Tindakan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan memperlekehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan tahap politik beliau rendah iaitu dengan bermain sentimen yang cuba mengaburi rakyat daripada membuat pertimbangan yang adil, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Setiausahanya, Ahmad syukri Che Ab Razab berkata, Anwar Ibrahim dianiaya kerana tegas memperjuangkan keadilan, dalam masa yang sama Takiyuddin bersama sebilangan pemimpin Pas boleh duduk bermesra dengan Najib Razak, kleptokrat yang terkenal di seluruh dunia.

“Jangan kerana hubungan intim antara Pas dan Najib Razak menyebabkan Takiyuddin menerima kezaliman yang dilakukan Kerajaan BN terhadap Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, Takiyuddin selaku peguam senior juga harus lebih faham mengenai pengampunan penuh yang dikurniakan oleh Sultan Muhammad V selaku Yang Di-Pertuan Agong ketika itu kepada Anwar Ibrahim.

“Kerana menentang kleptokrasi dan penyelewengan, Anwar Ibrahim menjadi korban kerakusan kerajaan BN. Mungkin juga mata Takiyuddin dan sesetengah pemimpin Pas telah digelapkan hasil hubungan intim dengan pemimpin kleptokrat,” katanya.

Selaku pemimpin PAS, katanya, Takiyuddin yang juga orang lama dalam aktivisme politik Malaysia apatah lagi beliau sendiri faham betapa lokap dan penjara itu adalah habuan perjuangan.

“Makin kuat seseorang itu mendatangkan cabaran kepada Kerajaan yang zalim, maka makin beratlah ancaman yang terpaksa dihadapi.

“Saya ingin meminta Takiyuddin untuk mengulang bacaan mengenai pemimpin-pemimpin dunia yang melangkah dari penjara ke tampuk kepimpinan negara.

“Saya percaya Takiyuddin pernah membaca tetapi mungkin beliau terlupa. Ini bukan soal siapa orangnya yang bakal jadi Perdana Menteri, tetapi apa gagasan yang ingin di bawa oleh seseorang pemimpin itu,” tegas beliau.

Beliau berasa hairan mengapa Takiyuddin begitu marah kepada Anwar Ibrahim sehingga mengeluarkan kenyataan berniat penghinaan seperti ini.

“Mungkin kerana pendedahan Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menyebabkan Pas dan Presidennya seolah-olah terhimpit dalam isu pembayaran RM 1.4 juta kepada Clare Rewcastle-Brown bagi penyelesaian luar mahkamah kes saman PAS terhadap Sarawak Report,” ujarnya.

Sebelum itu, Takiyuddin Hassan menyifatkan Presiden PKR itu sebagai bekas banduan kerana pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan dan ini menjadikan beliau tidak sesuai diangkat sebagai Perdana Menteri.

Takiyuddin membuat kenyataan itu ketika ceramah di Taman Indah, Sandakan pada Rabu lalu.

Kenyataan beliau ini ditujukan kepada Anwar Ibrahim yang telah dinamakan melalui konsensus Pakatan Harapan sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamed.