Perlembagaan dan  agama Islam akan dipertahankan, kata Mahathir

Perlembagaan dan agama Islam akan dipertahankan, kata Mahathir

Kerajaan akan terus memastikan nilai-nilai Islam terpelihara dan menolak dakwaan pentadbiran kerajaan yang baharu akan mengenepikan kepentingan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, terdapat pemimpin yang turut mendakwa mereka kononnya mempertahankan Islam tetapi sebaliknya menjalankan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Ada yang mengatakan bahawa kita (Pakatan Harapan) tidak akan melindungi Islam, tetapi ini tidak benar sama sekali kerana kita bertanggungjawab dalam mentadbir negara tanpa melanggar ajaran Islam.

“Terdapat ramai yang mendakwa mereka telah melindungi Islam dan mengatakan bahawa mereka menegakkan agama, tetapi mereka didapati telah melakukan sesuatu terhadap ajaran Islam.

“Inilah sebabnya kami tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan pentadbiran dengan dasar-dasar Islam dan membuktikan bahawa dasar mereka tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenar,” kata Dr Mahathir yang dipercayai merujuk kepada kepimpinan Barisan Nasional sebelum ini yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan kepentingan agama Islam.

Beliau berkata demikian dihadapan 2,000 ahli Bersatu yang hadir dalam Majlis Iftar parti itu di Putrajaya malam tadi.

Dr Mahathir juga menyatakan pendiriannya dan berjanji bahawa kerajaan yang akan dibentuknya itu akan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, tanpa penentangan terhadap Islam.

Beliau berkata, kerajaan akan mendirikan sebuah kerajaan yang akan berpegang kepada perlembagaan negara dan ajaran Islam sebenar.

” Ia akan menentukan negara kita ditadbir dengan baik iaitu menunjukkan sikap prihatin kepada rakyat bukan sahaja terhadap orang Islam malah ia boleh diterima di kalangan bukan Islam.

‘Kita tidak akan adakan diskriminasi terhadap agama-agama lain. Kita akan dapatkan pulih semula negara.

“Hari ini kita sudah mengenal pasti cara untuk kurangkan hutang negara supaya tidak jadi beban untuk rakyat di masa hadapan,” ujarnya.

Bahkan katanya wakil rakyat yang menang pilihan raya tidak perlu berbangga dengan gelaran ‘Yang Berhormat’ sebaliknya mereka perlu menumpukan perhatian dan tanggungjawab yang digalas hari ini.

“Kita bukan jadi kerajaan kerana bangga dengan title yang berhormat atau pendapatan yang kita perolehi tetapi kita harus membina kekuatan demi bangsa, agama dan negara,” katanya.

Dalam majlis sama turut diumumkan jumlah kutipan dana bagi Tabung Harapan Malaysia yang berjaya dikumpulkan pada majlis Iftar ini daripada lima buah syarikat sejumlah RM110,000.

Tabung Harapan Malaysia setakat hari Isnin sudah mencecah RM31juta sejak ia diumumkan pada Rabu lalu.

8.3
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 7.5
CATEGORIES
TAGS