Perlembagaan Johor dan Terengganu tidak terbatal, kata pakar undang-undang

Perlembagaan Johor dan Terengganu tidak terbatal, kata  pakar undang-undang
Shamrahayu Abd Aziz

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz menyifatkan, Perlembagaan Negeri Johor (1895) dan Terengganu (1911) tidak terbatal.

Sehubungan itu, beliau berkata, jika dilihat pengisian dalam kedua-dua perlembagaan negeri tersebut, ianya masih wujud dan undang-undang itu juga adalah sah dan terpakai.

Shamrahayu menjelaskan lagi, apabila perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dibentuk, Perlembagaan Johor dan Terengganu telah diubah suai pada ketika itu.

Namun katanya, apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Perlembagaan Terengganu 1911 menjadi sebahagian daripada undang-undang yang sedang diterima pakai di negeri Johor dan Terengganu

“Kalau kita baca Perlembagaan Terengganu ketika ini, kita akan nampak dengan jelas undang-undang itu ada dalam perlembagaan negeri, dan ia sedang diterima pakai.

“Begitu juga dengan Johor, tambahan yang ada dalam perlembagaan negeri itu, ada yang dari 1895 lagi.. maknanya kedua-duanya itu masih ada dalam perlembagaan negeri Johor dan Terengganu sekarang.

“Tetapi, apa yang disebut dalam perlembagaan negeri Terengganu dan Johor sekarang, perlembagaan ini dibaca tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.. maksudnya, apa jua yang termaktub dalam perlembagaan dua negeri tersebut, ianya mestilah mentaati peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Sekarang ini, kalau kita lihat tentang kuasa Raja untuk melantik Menteri Besar atau lantikan exco seperti yang berlaku di Johor, dalam perlembagaan tersebut, ia juga memberikan kuasa kepada Raja atau Sultan bagi negeri itu untuk melantik calon yang mempunyai kepercayaan majoriti.

“Kuasa eksekutif atau kuasa melantik itu masih terletak kepada Raja.. jadi saya rasa tidak adil kalau kita mengatakan Raja di negeri tiada kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Dateline ketika diminta mengulas berhubung kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu Perlembagaan Johor dan Terengganu terbatal apabila Perlembagaan Persekutuan dibentuk.

Dalam perkembangan sama, Shamrahayu menjelaskan, dalam perlembagaan negeri, kuasa eksekutif adalah terletak hak kepada Tuanku Sultan.

“Kalau kita kata kuasa eksekutif semua sudah terbatal di peringkat negeri, ia adalah sesuatu yang mengelirukan.. ini kerana di peringkat negeri, kuasa eksekutif adalah terletak hak kepada Sultan bagi negeri tersebut.

“Cuma dari segi fungsi pelaksanaan kuasa itu pula, ianya terletak kepada Raja, akan tetapi pelaksanaan kuasa itu dilakukan oleh pihak pentadbiran, kuasa Raja itu diamanahkan kepada pihak pentadbiran untuk melaksanakannya,” jelasnya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya adakah terdapat mana-mana klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Perlembagaan Negeri diguna pakai, Shamrahayu berkata merujuk Artikel 71 (1) Perlembagaan Persekutuan, ia adalah mengenai jaminan Perlembagaan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri.

“Apa yang terkandung dalam artikel itu adalah, Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan Raja dan fungsi Raja mengikut Perlembagaan Negeri.

“Maksudnya di sini, kedudukan Perlembagaan Negeri diiktiraf Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, kerana kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan, perlembagaan ini yang menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri.

“Ini yang dipanggil semangat federalisme (semangat Persekutuan). Walaupun kita sudah menjadi sebuah negara Persekutuan, kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri tetap dihormati,” ujarnya.