Malaysia Dateline

Perlembagaan Nafas digantung sejak Jun 2018 selepas Audit Khas

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah digantung perlembagaanya pada 01 Jun 2018 di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109] melalui Perintah Penggantungan Perlembagaan PP bertarikh 28 Mei 2018.

Melalui satu kenyataan Menteri Pertanian  Datuk Seri Salahuddin Ayub  di Dewan Rakyat  hari ini ia susulan daripada laporan audit khas Nafas yang dilaksanakan pada 23 Mac hingga 4 Mei 2018.

“Perintah Menarik Balik Perintah Penggantungan Perlembagaan Nafas telah diisytiharkan berkuatkuasa mulai 15 Januari 2019.

“Terdapat 42 penemuan audit khas Nafas yang menjurus kepada salahlaku Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusan, pecah amanah dan salahguna kuasa dan sebagainya.

“Susulan itu, Pendaftar Pertubuhan Peladang telah  melantik 15 orang bagi melaksanakan penyiasatan terperinci dan  51 kertas siasatan telah dilengkapkan.

“Apabila saya masuk ke pejabat saya telah menulis surat kepada SPRM supaya Seksyen 3 Akta SPRM dikuatkuasakan. Saya telah meminta supaya Nafas diletakkan sebagai badan awam yang boleh disiasar dan dipantau SPRM.

“Sebanyak 37 kertas siasatan telah diangkat untuk tindakan pihak SPRM , 5 kertas diangkat ke PDRM dan selebihnya dalam tindakan dan bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan Peladang.,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan lisan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang).

Kata Salahuddin lagi, sepanjang tempoh penggantungannya, Nafas ditadbir dan diurus oleh 8 orang Pentadbir di bawah Seksyen 23 Akta Pertubuhan Peladang 1983 [Akta 109].

Ia bagi memastikan pentadbiran dan urusan perjalanan Nafas berjalan seperti  biasa sepanjang tempoh penggantungan.

Kenyataan itu menyebut pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh pentadbiran baru Nafas adalah memantapkan korporat strateginya melalui hala tuju yang baru.

“Terdapat 5 kluster telah dirancang untuk dilaksanakan iaitu kluster padi, ruminan, ayam , perladangan dan e-commerce. Hala tuju ini adalah selari dengan hala tuju MOA.,” ujar kenyataan.

Di antara tindakan penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh Pentadbir yang dilantik oleh LPP adalah:

1. Penyusunan semula organisasi Nafas  dan waran perjawatan Nafas induk.

2. Semakan dan penambahbaikan skim perkhidmatan dan peraturan keja Nafas

3. Semakan semula kaedah Tatatertib dan rayuan tatatertib Nafas

4. Pemantapan sistem fail dan surat menyurat

5. Kajian semula SOP pengurusan ladang milik Nafas dengan anak syarikat

6. SOP pengurusan aset dan pelupusan aset tetap dan inventori

7. Sop perkhidmatan dan pembekalan baja dan racun kerajaan

8. Penambahbaikan sistem e-padi dan sistem Nafas SOP pembayaran secara EFT bagi menggantikan pembayaran melalui cek kaedah kredit perniagaan dan perkhidmatan Nafas penambahbaikan kaedah perolehan Nafas

9. Penambahbaikan kaedah-kaedah kumpulan wang

10. Penambahbaikan fungsi jawatankuasa-jawatankuasa kecil penambahbaikan kaedah DPK penambahbaikan manual audit pengurusan Nafas.

Sebagai rekod ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong mendakwa tiga kontrak bernilai lebih RM1 bilion dibatalkan selepas MOA dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada Nafas secara rundingan terus.

Menurut Wee, kontrak sebelum itu dibatalkan walaupun sudah diluluskan Lembaga Perolehan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Selain itu Wee turut membangkitkan isu tempahan 38 bilik hotel yang dibuat atas nama Nafas sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Susulan itu, Salahuddin mengaku menulis surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memohon lantikan terus dibuat kepada Nafas pada 7 Nov namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.