Malaysia Dateline

Perlembagaan Persekutuan tidak halang bukan Melayu dilantik Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri Kewangan

Tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa bukan Melayu tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran, Parlimen atau badan kehakiman, kata seorang pakar undang-undang perlembagaan yang terkemuka Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Beliau berkata Perkara 153 memperuntukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan merangkumi semangat tolak ansur, kesederhanaan dan toleransi dan menambah bahawa Perkara 153(5) meletakkan Perkara 153 hingga Perkara 136 tertakluk di bawahnya yang menyatakan bahawa semua orang tanpa mengira kaum dalam perkhidmatan Persekutuan, hendaklah diberi layanan yang saksama.

Shad Saleem Faruqi

“Tiada apa-apa dalam Perlembagaan untuk melarang bukan Melayu daripada memegang jawatan rasmi dalam pentadbiran, parlimen atau badan kehakiman,” kata beliau dalam pojok “Reflecting on the law” dalam akhbar The Star yang disiarkan pada 28 Februari.

Shad Saleem jelas mengutarakan pandangannya sebagai respon kepada ucapan seorang pemimpin pembangkang semasa pilihan raya kecil Dun Semenyih baru-baru ini yang dilaporkan mempersoalkan pelantikan bukan Melayu ke jawatan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri Kewangan.

Pemimpin pembangkang itu  juga dilaporkan mendakwa bahawa pelantikan Peguam Negara adalah tidak sah kerana beliau tidak mengangkat sumpah jawatan dengan bersaksikan al-Quran.

Shad Saleem, menerusi pojok dalam akhbar The Star, berkata Perkara 153 juga melindungi ”kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak”.

“Barangkali pengkritik lupa bahawa Ketua Hakim Negara sekarang adalah seorang Bumiputera yang berasal dari Tuaran, Sabah. Sabah dan Sarawak tidak akan terpengaruh terhadap sebarang percubaan untuk meminggirkan Bumiputera negeri-negeri ini,” kata beliau.

Perkara 153 secara jelas menyebut bahawa menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi hak secara sah kaum-kaum lain”, kata beliau.

Shad yang merupakan penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya berkata terdapat banyak contoh bukan Melayu memegang jawatan penting dalam pentadbiran, badan kehakiman dan parlimen di negara ini sebelum ini.

Antara mereka ialah Thomas Vernor Alexander Brodie (1955-1959) dan Cecil M. Sheridan (1959-1963) yang dilantik sebagai Peguam Negara sementara James Thompson dilantik ke jawatan Ketua Hakim Negara dari 1957 hingga 1963.

“Bagi menteri kewangan, Tun Tan Siew Sin, pernah memegang jawatan itu selama 15 tahun,” kata beliau.

Shad Saleem juga menyangkal dakwaan bahawa Peguam Negara dikehendaki mengangkat sumpah jawatan bersaksikan al-Quran sebagai tidak benar kerana hanya lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti tertera di bawah Jadual Keempat mempunyai elemen Islam dan agama.

“Semua sumpah jawatan lain tidak mengandungi elemen agama dan perlu melafazkan taat setia kepada negara, Perlembagaan dan jawatan yang disandang.

“Ia berikutan bahawa tiada keperluan kaum dan agama dalam pelantikan Ketua Hakim Negara, Peguam negara atau menteri kewangan. Ini adalah jelas menyimpang dari Perlembagaan dan merugikan negara untuk mengapi-apikan sikap perkauman atau bantahan berunsur agama terhadap pelantikan ini, “kata beliau dalam pojoknya yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Inggeris itu.

Dalam pojok yang sama, Shad Saleem juga menjawab beberapa kritikan yang menuduh Peguam Negara mengamalkan sikap berat sebelah perkauman dan tidak bertindak untuk menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tahun lepas.

“Ini nampaknya adalah satu pembohongan yang berniat jahat. Inkues telah diarahkan mengikut Seksyen  399(1) Kanun Prosedur Jenayah dan undang-undang akan berjalan mengikut landasannya.

“Hanya mereka yang berhasrat menyembunyikan kebenaran dan mengambil kesempatan daripada kematian tragik menginginkan fakta disembunyikan fakta,” kata beliau menerusi kolumnya dalam the Star.

Mengenai ucapan berbaur kebencian, beliau menulis dalam pojok bahawa di Malaysia, sesiapa yang membuat ucapan itu boleh dihukum di bawah beberapa undang-undang termasuk di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen Akta Hasutan.

Shad Saleem berkata di bawah Akta Hasutan, adalah menjadi kesalahan untuk melahirkan kecenderungan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati, permusuhan atau membenci antara kaum atau golongan penduduk atau agama.

Beliau berkata kenyataan yang mendakwa orang Melayu bimbang terhadap sikap berat sebelah kerana Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan menteri kewangan bukan dari kalangan Melayu menggambarkan sifat perkauman orang Melayu dan satu penghinaan kepada semua masyarakat Islam dan Melayu.

“Inii disebabkan oleh sesetengah ahli politik dan kumpulan terpencil yang menimbulkan ancaman dari musuh bayangan dan membesar-besarkan “etno-populisme dan jingois nationalisme” untuk membangkitkan perasaan tidak percaya orang lain”.

“Kita semua harus mengambil pendirian menentang politik lapuk dan kecenderungan kuno. Pemimpin kita harus mengutuk ucapan sedemikian dengan sekeras-kerasnya, secara terbuka dan berterusan,” kata beliau.- BERNAMA