Malaysia Dateline

Perlembagaan PKR beri kuasa kepada Presiden pilih Pengerusi MPN negeri

Pemilihan bagi jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) adalah menurut peraturan dan perlembagaan PKR.

Malah perlembagaan PKR telah memberi kuasa kepada Presiden untuk memilih Pengerusi MPN bagi negeri-negeri.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 200 pelajar di Bukit Mertajam petang semalam.

Jelas beliau lagi, pemilihan bagi pengerusi MPN dibuat setelah diadakan perbincangan dengan kesemua ketua-ketua cabang.

“Datuk Seri Anwar semasa berada di Sarawak telah pun mengambil langkah yang terbaik dengan menemui ketua-ketua cabang.

“Apa yang dilakukan oleh beliau adalah memenuhi keperluan sepertimana yang tercatat dalam perlembagaan parti.

“Sehubungan itu apabila beliau memilih nama pengerusi negeri, maka ia adalah berdasarkan kepada pertimbangan dan kewajaran yang diperlukan,” tegasnya lagi.

Oleh itu katanya, perhitungan dan pertimbangan yang sebaik mungkin telah pun dilaksanakan oleh Presiden membabitkan pelantikan kerusi pengerusi MPN tersebut.

Adalah difahamkan setakat ini senarai Pengerusi MPN Negeri yang telah diumumkan ialah Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi negeri Perak dan Aminuddin Harun bagi Negeri Sembilan.

Manakala Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul menerajui MPN Negeri Kedah, Datuk Christina Liew Chin Jin bagi negeri Sabah, Zahir Hassan bagi Kuala Lumpur dan Halim Bachik bagi negeri Melaka.