Perlis antara negeri terendah tolak vaksin

Perlis antara negeri terendah tolak vaksin

Perlis merupakan antara negeri terendah yang mencatatkan kes penolakan vaksin kurang daripada satu peratus melibatkan jumlah kelahiran hidup, kata Pengarah Kesihatan Negeri (JKN) Dr Sirajuddin Hashim.

Beliau berkata negeri itu mencatatkan kira-kira 3,800 kelahiran hidup dan kes penolakan vaksin berkurangan setiap tahun sejak 2016.

“Sebanyak 27 kes direkodkan pada tahun lepas berbanding 32 kes pada 2017 manakala pada 2016 sebanyak 46 kes direkodkan berkaitan penolakan vaksin di negeri ini,” kata Dr Sirajuddin.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Derma Darah Penolong Pegawai Perubatan sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2019 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah HTF, Dr Othman Warijo dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan Perlis, Mohd Hairulnisham Mohd Senapi.

Dr Sirajuddin berkata antara alasan yang sering diterima ialah ibu bapa kurang yakin dengan penggunaan vaksin.

“Kakitangan perubatan sentiasa memberikan saranan dan nasihat terbaik kepada ibu bapa berkaitan suntikan vaksin ini, tapi kalau dah mereka (ibu bapa) tidak mahu kita tidak boleh paksa mereka. Tetapi jumlah kes yang menolak vaksin ini berkurang (dari) tahun ke tahun,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bekalan darah di HTF mencukupi meskipun terdapat kekurangan darah kumpulan A dan B.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai orang ramai tampil menderma darah untuk kepentingan pesakit yang memerlukannya.

Sebelum itu, seramai 36 penolong pegawai perubatan menderma darah pada majlis berkenaan.