Malaysia Dateline

Perlis sasar 32 pingat pada temasya para Sukma di Ipoh

Perlis mensasarkan keseluruhan 32 pingat termasuk 12 pingat emas pada temasya Sukan Para Sukma ke-19 di Ipoh, Perak, yang bermula esok hingga 28 Nov.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Hamizan Hassan berkata pingat-pingat tersebut disasarkan dalam acara ping pong, boling padang, tenpin boling, angkat berat dan olahraga.

“Perlis menghantar 50 atlet dan 20 pegawai dan menjangka (sasaran) meraih 12 emas, 11 perak dan sembilan gangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bendera negeri kepada kontinjen Perlis ke temasya tersebut di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di sini, hari ini.

Beliau yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man menyerahkan bendera kepada ketua kontinjen, Nurmasnira Morad, diikuti dengan bacaan ikrar diketuai Muhammad Ekmal Hakim Abdullah.

Menurut Hamizan sasaran pingat tahun ini yang lebih rendah berbanding pencapaian pada Para Sukma Sarawak 2016 yang meraih 36 pingat iaitu 22 emas, enam perak dan lapan pingat gangsa kerana Perlis mengetengahkan atlet-atlet baharu.

Hamizan berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 sebagai insentif kepada atlet yang meraih pingat namun beliau tidak menyatakan nilai hadiah bagi setiap warna pingat yang dibawa pulang.

— BERNAMA