Perlis tidak seharusnya jadi negeri transit – Raja Muda

Perlis tidak seharusnya jadi negeri transit – Raja Muda

Perlis tidak seharusnya sekadar menjadi negeri transit bagi pelancong yang ingin ke Thailand kerana ia turut memiliki keindahan dan tarikan tersendiri.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pelancong perlu singgah bermalam di Perlis yang bersempadan dengan Thailand itu untuk mengenali keindahan budayanya dengan lebih dekat.

“Pelancong Thailand dan Singapura wajar singgah di Perlis sekurang-kurangnya untuk satu malam…begitu juga pelancong Malaysia yang ingin ke Langkawi atau Thailand boleh mendekati Perlis yang terkenal dengan landskap alamnya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan melancarkan ‘Promosi Masakan Perlis’ anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan BMC Travel Sdn Bhd bersempena ‘Jelajah Ilmu UniMAP 2018’ di sini pada Sabtu.

Promosi yang berlangsung di Walong Restaurant milik rakyat Malaysia itu disenaraikan sebagai satu daripada aktiviti dalam Program Jelajah Ilmu UniMAP siri ke-14 membabitkan negara Poland, Belgium dan Netherland.

Ia antara lain bertujuan memperkenalkan Perlis sebagai destinasi ilmu selain sebagai destinasi pelancongan yang turut menawarkan keenakan makanan tradisinya.

Perlis adalah sebuah negeri yang bebas daripada kesibukan kota dan memiliki tarikan pelancongan seperti Gua Kelam, Taman Ular, Taman Negeri, Kuala Perlis dan Padang Besar.

Pengunjung juga boleh merasai makanan tempatan seperti laksa Kuala Perlis, kurma daging Perlis, ikan bakar, air nira dan mangga Harumanis yang terkenal apabila tiba musimnya.

Loading...

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP disambut oleh pemilik restoran yang berasal dari Klang, Selangor, Khoo Soo Keong dan isteri beliau, Siar Peck Cheng.

Berangkat sama ke program itu ialah anakanda kedua baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Ahmad Nazri Yusof dan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

— BERNAMA