Malaysia Dateline

Perlu ada bukti jelas kehendak rakyat sebelum laksanakan semula GST, kata Guan Eng

 Gesaan untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat bukti yang tidak boleh dipertikaikan menunjukkan bahawa ia adalah kehendak rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Ke-14 kerana rakyat jelas menunjukkan bahawa mereka menolak GST dan kerajaan perlu menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat berkaitan dengan cukai itu.

“Kami mendukung mandat menolak GST pada pilihan raya lepas dan kami telah menunaikan janji untuk menghapuskannya.

“Jadi, jika rakyat mahukan semula GST, seperti (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad katakan, kita akan menimbangkannya. Tetapi perlu ada mandat yang jelas daripada rakyat,” kata Lim semasa ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan mengkaji gesaan untuk melaksanakan semula GST tetapi perlu menjalankan kajian terlebih dahulu untuk melihat sama ada cukai yang diperkenalkan empat tahun lepas itu lebih efektif berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekarang.

GST sebanyak enam peratus itu diperkenalkan pada April 2015 sebelum dimansuhkan dan digantikan dengan SST pada 1 Sept, 2018, beberapa bulan selepas PH mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lepas.

Ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan semula GST selepas mendapat bukti yang jelas daripada rakyat, Lim berkata keputusan itu perlu dibuat secara bersama oleh Majlis Presiden PH.

“Bukan saya seorang yang akan memutuskannya. Sehingga keputusan dibuat, kita perlu menghormati mandat dan kehendak rakyat semasa mereka mengundi PH, yang mana salah satu janji kami adalah untuk menghapuskan GST,” katanya sambil menambah beliau tidak menerima sebarang arahan daripada Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH, berkaitan GST.

Lim berkata penghapusan GST memberikan impak dalam menangani inflasi dan kos hidup dengan Malaysia mencatatkan antara kadar inflasi terendah di dunia pada 1.5 peratus.

“Jika kita benarkan GST enam peratus kembali semula, maka anda akan melihat inflasi akan meningkat,” katanya.
Ditanya sama ada SST masih merupakan mekanisme terbaik, beliau berkata, apa yang lebih penting PH telah menunaikan janjinya berkaitan dengan manifesto pilihan raya untuk memansuhkan GST dan hasilnya ia dapat mengekang inflasi dan kos hidup tidak begitu mendesak seperti sebelum ini.

Mengenai kurangan GST, Lim berkata, ia digunakan untuk membayar balik bayaran balik yang dipegang oleh kerajaan terdahulu.

“Setelah diselesaikan kelak, kita masih boleh mengekalkan keseimbangan dalam kewangan kita antara meningkatkan hasil kerajaan atau menurunkan kos inflasi,” katanya.

Mengenai bagaimana kerajaan merancang untuk meningkatkan hasilnya, beliau berkata jumlah RM44 bilion yang diperoleh menerusi GST adalah kutipan kasar dan jumlah itu termasuklah bayaran balik yang tidak pernah dibayar balik.

Beliau berkata angka bersih kutipan GST adalah kira-kira RM33 bilion hingga RM34 bilion.– BERNAMA