Perlu ada dasar jelas terima MP BN dalam PH, kata Adun Bukit Tengah

Perlu ada dasar jelas terima MP BN dalam PH, kata Adun Bukit Tengah

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai satu dasar yang jelas mengenai penerimaan wakil rakyat BN, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.

Menurutnya beberapa kriteria perlu ada sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai kemasukan wakil rakyat BN tersebut.

Selain itu ujarnya, mana-mana parti sekalipun perlu berhati-hati untuk menerima kemasukan wakil rakyat BN kerana keputusan pilihan raya umum (PRU) ke 14 telah jelas dan begitu ketara mengenai sokongan rakyat.

“Kita tidak dapat nafikan rakyat telah pun membuat pilihan dengan memberi sokongan penuh sehingga PH mampu untuk membentuk kerajaan negeri dan juga pusat.

“Sehubungan itu penolakan BN oleh rakyat harus diberi perkiraan yang sewajarnya kerana ia merupakan mandat yang amat besar.

“Maka itu PH harus berhati-hati dalam mengambil apa jua keputusan membabitkan penyertaan wakil rakyat BN yang ingin menyertai PH,” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan pengamal undang-undang turut berkata, seandainya ada mana-mana wakil rakyat tersebut yang terbabit dengan apa jua kes, ia perlu diberi perhatian yang serius.

“Mereka yang sebelum ini telah pun diketahui terlibat dengan mana-mana kes rasuah atau salah guna kuasa perlu disiasat terlebih dahulu.

“Mandat rakyat harus menjadi prioriti utama dan perlu dihormati kerana sokongan mereka telah memberi kejayaan besar kepada PH untuk menerajui kepimpinan kini.

“Justeru itu semua pihak mesti mengutamakan kepentingan PH serta konsensus yang telah disepakati dalam isu membabitkan penyertaan wakil rakyat BN tersebut, ” tambah beliau lagi.

Baru-baru ini dakwaan yang mengatakan akan adanya penyertaan begitu ramai wakil rakyat Umno ingin menyertai PH khususnya Bersatu telah memberi pelbagai reaksi pro dan kontra.

COMMENTS