Malaysia Dateline

Perlu agresif, pengajaran kepada penjenayah rentas sempadan

Sabah meminta kerajaan pusat agar melihat keperluan untuk bertindak secara agresif dalam menangani masalah rompakan dan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan yang berlaku di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Menegaskan perkara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sudah tiba masanya Malaysia tidak lagi bersikap ‘bertahan’ kerana ia turut menjejaskan sektor pelancongan dan keselamatan rakyat tempatan serta pekerja asing yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki.

“Mereka (pekerja asing) mencari nafkah di laut bukan mahu datang ke Malaysia untuk diculik. Kalau asyik bertahan sangat tidak boleh, saya ingat sampai ketikanya kita ‘offensive’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan borang keahlian dan kemasukan anggota baharu Parti Warisan Sabah bahagian Kalabakan di sini, hari ini.

Mohd Shafie turut mencadangkan agar kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) melibatkan Malaysia, Indonesia dan Filipina dalam menangani masalah tersebut.

Beliau berkata penjenayah rentas sempadan itu perlu diberi pengajaran sewajarnya.

“Sebolehnya kita kejar di mana mereka berada, tak kan kita asyik (jadi sasaran) kena culik setiap tahun,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau akan meminta pihak pasukan keselamatan menekankan aspek peningkatan operasi di Sabah.

“Saya akan mengadakan mesyuarat bersama bahagian keselamatan pada Isnin ini dan saya mahu operasi ditingkatkan,” katanya.

Pada 5 Dis lepas, empat lelaki bersenjata yang menaiki bot laju cuba merompak sebuah bot tunda Magtrans II di perairan Pegasus Reef di Kinabatangan dan suspek melepaskan dua das tembakan secara rambang ke arah bot tunda itu dan terkena paha kiri juragan Magtrans.

Selain itu, seorang pemilik kapal ikan turut melaporkan empat pekerjanya terdiri daripada juragan dan tiga nelayan hilang di perairan pada hari yang sama.

— BERNAMA