Malaysia Dateline

Perlu atau tidak #PauseMalaysia?

Sejak semalam, tular satu kempen yang dicadangkan oleh Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), sebuah parti yang dipimpin oleh Syed Saddiq yang dinamakan sebagai #PauseMalaysia.

Kempen #PauseMalaysia telah menggariskan tiga desakan Pause Malaysia iaitu:

1- Tempoh berdamai antara semua parti politik kerana situasi kini amatlah mendesak rakyat. Rakyat sedang menderita. Janganlah ada lagi perebutan kuasa dari mana-mana parti politik dalam tempoh ini.

2- Tidak ada PRU selagi ancaman COVID-19 masih berleluasa di Malaysia.

3- Pihak Kerajaan, Pembangkang dan Bebas duduk semeja, wujudkan satu kerjasama melebigi kepartian dalam meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan No.1.

Jika dilihat secara sepintas lalu, desakan ini nampak sangat menarik dan jelas ianya bermaksud baik.

Dalam situasi pandemik Covid-19 di Malaysia yang semakin kritikal, di mana setiap hari kes menunjukkan bilangan tiga angka, kita semua sebagai rakyat Malaysia perlu bersatu dalam menentang musuh yang tidak nampak di mata ini.

Ini juga bermakna perbezaan politik perlu diketepikan demi kebajikan rakyat dan masa depan negara.

Tetapi, adakah ini bermaksud cita-cita kempen #PauseMalaysia ini boleh menjadi kenyataan?

Desakan ini pada dasarnya tampak sangat menarik. Tetapi jika diperhalusi ianya terlalu idealis dan tidak realis. Atau dengan kata yang lebih mudah, ia merupakan satu usaha murni, tetapi tidak berpijak di bumi yang nyata.

Idea ini mungkin dapat dilaksanakan, jika hanya kita sedang berdepan dengan kerajaan yang ikhlas, jujur dan efisien dalam menangani krisis pandemik.

Namun, apa yang kita alami hari ini adalah berbeza. Kita sedang berdepan dengan sebuah kerajaan yang menggalakkan rampasan kuasa, lompat parti, lantikan berkepentingan, layanan dua darjat dan sebagainya.

Walaupun Muhyiddin yang menggelar dirinya sebagai “Abah” berulang kali menyebut bahawa beliau tidak mahu berpolitik semasa pandemik, tetapi hakikatnya dial ah yang paling banyak bermain politik.

Maka, cubaan untuk mewujudkan jeda dalam hal politik adalah seolah-olah seperti memejam mata atau mengiyakan ketidakadilan dan salah guna kuasa yang sedang berlaku.

Bahkan, tiga desakan yang Muda telah gariskan tadi sebenarnya adalah perkara yang kerap dilanggar oleh kerajaan Perikatan Nasional dengan tidak mempedulikan rakyat.

Tiada istilah tempoh berdamai, tiada PRU mahupun duduk semeja dalam pemerintahan PN diketuai oleh Muhyiddin.

Tempoh berdamai apa jika satu persatu kerajaan negeri dirampas oleh PN melalui perbuatan khianat?

Tiada PRU? Jangan lupa janji Muhyiddin dalam kempen PRN Sabah yang mahu percepatkan PRU jika PN menang dalam PRN Sabah.

Dan jika perbincangan meja bulat ingin dilakukan, sedarlah berapa kali kerajaan PN telah mengabaikan kerajaan negeri PH dalam perbincangan polisi penting menangani pandemik ini.

Jika perkara remeh sebegini pun nampaknya kerajaan PN dari awal telah gagal untuk laksanakan, bagaimana kita mahu menyokong idea #PauseMalaysia yang sudah tentu bertentangan dengan amalan kerajaan PN?

Tidak dapat dinafikan, sememangnya idea ini niatnya baik. Tapi nampaknya seperti tidak sesuai untuk digunapakai dalam politik Malaysia pada hari ini.

Oleh itu, kita perlu bersatu padu jalan terus, demi maruah dan masa depan negara Malaysia!

—————————-
Penulis adalah pembaca Malaysia Dateline.