Perlu atau tidak raikan pelajar SPM yang cemerlang? Ada sesetengah pihak tak setuju pelajar cemerlang diraikan, diberi penghargaan atas stage, bahkan ada yang tak setuju mereka pegang kad tertera bilangan A yang mereka perolehi.
Maka sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sambutan majlis kecemerlangan kurang disambut. Atau disambut dalam majlis tertutup.
Katanya untuk menjaga perasaan pelajar yang gagal dan dapat result yang rendah.
Aku berbeza pendapat mengenai hal ini. Aku lebih suka pelajar cemerlang diraikan.
Kenapa bersungguh-sungguh tak nak raikan murid yang cemerlang ini?
Kenapa nak sekat hak mereka untuk bergembira atas kejayaan mereka? Kenapa?
Pada aku, murid cemerlang harus diraikan.
Itu usaha mereka. Itu titik peluh mereka. Itu pahit jerih mereka. Itu pengorbanan mereka. Dan bila mereka berjaya, kita nak nafikan hak mereka pula? Apa adil begitu?
Pelajar ini, usaha mereka berganda-ganda. Saat kawan-kawan mereka tidur, mereka bangun malam. Belajar, solat hajat dan berdoa.
Pelajar lain diwaktu hujung minggu berseronok bersuka ria seolah tiada apa yang bakal berlaku sedangkan mereka ini menahan diri dan memilih untuk belajar dan belajar.
Bukan pelajar cemerlang ini tak minat main, tapi demi sebuah kejayaan, pasti satu pengorbanan perlu dilakukan.
Mereka belajar, mereka minta tunjuk ajar, mereka usaha bersungguh-sungguh. Saat orang lain bersenang-lenang, mereka bertungkus lumus.
Sampai ketika keputusan diumumkan dan mereka berjaya, pengorbanan, pahit getir dan usaha mereka untuk dapat kejayaan tidak boleh diraikan pula. Hanya kerana nak jaga hati pelajar yang tidak banyak berusaha seperti mereka.
Hendak jaga hati murid yang malas sehingga tidak beri anugerah pada yang cemerlang dan melarang buat sambutan. Apa betul tindakan kita?
Ya, aku tahu bukan semua murid yang yang gagal itu pemalas. Ada yang usahanya gigih, namun rezekinya setakat itu. Tapi lazimnya yang gagal itu kurang usaha mereka. Itu kelazimannya.
Dari dulu mereka yang cemerlang kita bagi anugerah secara terbuka. Aku ini bukan murid yang genius dan pintar. Tak pernah dapat naik pentas terima anugerah.
Namun setiap kali melihat rakan naik pentas terima anugerah, ia menjadi pendorong untuk mereka yang gagal berusaha lebih gigih. Itu satu motivasi yang baik.
Dari kecil aku tanam niat dan ibu bapa selalu cakap,
“Belajar sungguh-sungguh. Kalau cemerlang dapat naik pentas terima hadiah.”
Itu pendorong dan pembakar semangat.
Patutnya bila keputusan sebenar keluar, yang cemerlang perlu diraikan atas kejayaan mereka. Biar semua menyaksikan agar menjadi pendorong pada adik-adik dan kawan-kawan yang lain.
Yang gagal, pastinya akan bersedih. Akan kecewa. Itu normal. Itu tanggungjawab guru di sekolah dan ibu bapa di rumah untuk mengubat kekecewaan itu.
Di sekolah, pihak guru tak pernah abaikan murid yang kecewa ini. Guru kelas, guru mata pelajaran, guru kaunseling terus menerus memberi kata dorongan dan semangat mereka. Menunjukkan laluan untuk sambung belajar yang sesuai dengan keputusan mereka.
Kekecewaan mereka jika kita pandai manipulasi akan jadi satu kekecewaan yang memberi pulangan tinggi di masa akan datang.
Kesedihan mereka ini bukannya berkekalan sampai mati. Tidak!
Namun semangat yang mereka perolehi disebabkan gagal bakal mengubah cara belajar mereka. Ini yang aku paling suka. Sejarah telah pun membuktikan ramai tokoh terkemuka yang berjaya asalnya pernah gagal suatu ketika.
Ramai murid gagal menjadikan tangisan sewaktu rakan lain melangkah naik pentas terima penghargaan atas kecemerlangan sebagai sumber dorongan dan semangat baru untuk mereka lebih rajin dan berusaha di masa akan datang.
Tangisan semalam menjadi punca senyuman akan datang.
Apa itu tidak bagus?
Kecemerlangan itu bukan mudah untuk dicapai. Tak kira dalam apa jua bidang sekali pun.
Anugerah ini bukan sekadar memberi penghargaan pada yang cemerlang, malah menjadi dorongan dan sumber inspirasi pada yang kurang cemerlang.
Pada aku, meraikan pelajar yang cemerlang adalah relevan sepanjang masa.
Pada aku-lah.
Baca juga: Selalu ungkit SPM ‘cukup makan’, tapi anak inilah sanggup berhenti kerja nak jaga abah
Baca juga: Gigih ubah suai Kelisa jadi Daihatsu, dah kena saman polis