Malaysia Dateline

Perlu atau tidak tubuh jawatankuasa khas siasat insiden di KLIA? Ini pandangan bekas PTD

Perlu atau tidak kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas siasat insiden di KLIA yang membabitkan perbalahan antara Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dengan pengawai kanan Imigresen kerana ada yang berpandangan ia hanya boleh diselesaikan melalui badan displin sahaja.

Perbalahan ini dikatakan wajar diselesaikan di peringkat jabatan agar ia tidak berpanjangan, bahkan badan yang sedia ada dalam Perkhidmatan Awam bagi menyiasat dan mengenakan tindakan tatatertib kepada penjawat awam tersebut dengan sewajarnya.

Seorang bekas pegawai Pentadbiran Diplomatik (PTD) Syed Munshe Afdzaruddin terpanggil untuk memberi pandangan berhubung langkah kerajaan itu.

Saya selaku mantan PTD merasa terpanggil untuk memberikan pandangan saya seperti berkut:

Tiada keperluan menubuhkan satu Jawantankuasa Khas bagi menangani isu di atas memandangkan ia hanyalah satu isu pentadbiran yang seringkali timbul apabila adanya teguran oleh pegawai atasan kepada pegawai bawahan atau pertembungan personaliti antara pegawai atasan di kalangan jabatan yang berbeza.

Bagi perkara ini, adalah wajar ia hanya diselesaikan di peringkat Jabatan/ Kementerian agar ia tidak berpanjangan dan boleh merosakkan imej Perkhidmatan Awam.

Namun demikian, sekiranya terdapat kesalahan yang serius dilakukan oleh penjawat awam, maka perkara ini perlu diselesaikan oleh badan disiplin yang sedia ada dalam Perkhidmatan Awam bagi menyiasat dan mengenakan tindakan tatatertib kepada penjawat awam tersebut dengan sewajarnya.

Dalam kes ini, teguran oleh KPPA tidak disambut baik oleh pegawai kanan Imigresen yang sepatutnya lebih berpengalaman, sebaliknya diviralkan dengan begitu cepat dan meluas serta mendapat dokongan Kesatuan Pekerja-pekerja Imigresen, Cuepacs, KSN dan Ketua Pengarah Imigresen ke atas tuduhan terhadap tatalaku KPPA, DS Shafiq Abdullah tanpa usul periksa. Ini seakan-akan wujudnya satu komplot untuk merosakkan imej serta menjatuhkan DS Shafiq Abdullah daripada jawatan KPPA.

Perlu atau tidak tubuh jawatankuasa khas siasat insiden di KLIA? Ini pandangan bekas PTD

Adalah aneh kes ini dirujuk kepada YAB Perdana Menteri di mana beliau telah bersetuju supaya ditubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyiasat perkara tersebut sedangkan kes-kes yang lebih penting seperti korupsi, kelulusan projek tanpa prosedur sehingga merugikan wang Kerajaan tidak pula diberi perhatian serius dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas.

YAB PM juga turut bersetuju menyerahkan tugas pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa kepada TS Zuki Ali, KSN dan ada juga saranan supaya Peguam Negara dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas tersebut.

Pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa oleh KSN didapati kurang sesuai memandangkan terdapat elemen ‘conflict of interest’ oleh TS Zuki Ali kerana DS Shafiq merupakan salah satu calon berpotensi untuk mengisi jawatan KSN apabila TS Zuki bersara wajib pada bulan Ogos 2022. Manakala, TS Zuki pula sedang berusaha untuk menyambung jawatan KSN tersebut.

Akan tetapi, sekiranya Jawatankuasa Khas ini hendak diteruskan sepertimana saranan YAB PM, adalah sesuai sekiranya: (i) Pengerusi SPA, YBhg. Tan Sri Zainal Abidin yang juga mantan KPPA dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas atau (ii) Jawatankuasa Khas bebas yang dipengerusikan oleh mantan KSN iaitu YBhg. Tan Sri Shamsuddin Osman atau YBhg. Tan Sri Halim Ali. Dengan pengalaman luas dalam Perkhidmatan Awam, mereka berupaya menetapkan skop siasatan dan mampu memilih ahli-ahli Jawatankuasa yang berintegriti dan mahir dalam hal ehwal Perkhidmatan Awam.

Penubuhan Jawatankuasa Khas bebas yang ‘impartial’ ini akan disambut baik oleh warga Perkhidmatan Awam, khasnya dan masyarakat, amnya.

Akan tetapi, adakah pendekatan yang diambil dengan penubuhan Jawatankuasa Khas ini merupakan satu kaedah terbaik dalam meningkatkan suasana harmoni sepertimana yang dikehendaki oleh YAB PM dalam Perkhidmatan Awam.

Adakah setiap kali adanya isu pertikaian / ‘perbalahan’ antara penjawat awam, Jawatankuasa Khas perlu ditubuhkan sedangkan badan disiplin sedia ada telah lama wujud dalam Perkhidmatan Awam. Adakah Jawatankuasa Khas ini boleh digunakan sebagai pendekatan penyelesaian sekiranya ada isu pertikaian/ perbalahan antara penjawat awam dengan Anggota Pentadbiran yang mana sering berlaku dalam Perkhidmatan Awam.

Selain itu, dalam usaha mengekalkan integriti Perkhidmatan Awam Malaysia yang cemerlang, adalah wajar agar cabang-cabang lain dalam Kerajaan di bawah Sistem Demokrasi Berparlimen iaitu Legislatif dan Kehakiman tidak turut masuk campur dalam urusan pentadbiran Perkidmatan Awam kerana cabang Eksekutif ini mempunyai pengalaman yang luas dan tatacara yang lengkap untuk menangani isu-isu pentabiran seperti tuduhan ke atas DS Shafiq ini.

Oleh itu, saya amat berharap pihak-pihak berkenaan dapat meneliti isu ini dengan lebih rasional serta memastikan ‘justice is not only served but also seen to be served’ ke atas DS Shafiq Abdullah.

Baca juga: Pak guard dilibas meninggal dunia tertuduh mungkin berdepan Seksyen 302 kerana membunuh

Baca juga: Aina Abdul hampir-hampir nyanyi sambil duduk, nasib penari selamatkan masa jatuh