Perlu garis panduan selaras yuran Tadika, saran PPIM

Perlu garis panduan selaras yuran Tadika, saran PPIM

Satu garis panduan yang lengkap perlu diwujudkan bagi menyelaras penetapan harga siling yang dikenakan terhadap yuran Tadika bagi mengelakkan pengusaha mengenakan kadar yang mahal.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata langkah itu dapat memastikan yuran yang dikenakan mampu dibiayai ibu bapa khususnya yang berpendapatan rendah.

“Pusat jagaan dan Tadika boleh diletakkan pada ranking tertentu iaitu menyediakan pelbagai fasiliti dan perkhidmatan seperti penjagaan dari pagi sampai malam, makanan berkhasiat, pusat renang dan aktiviti sukan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama  hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik yuran Tadika swasta di negara ini semakin mahal dengan mengenakan caj lebih RM5,000 setahun untuk seorang murid iaitu lebih mahal daripada yuran pengajian tinggi di universiti.

Nadzim berkata pihaknya telah menerima kira-kira 30 aduan berhubung caj yang dikenakan bagi Tadika dan pusat jagaan kanak-kanak swasta sehingga yuran mencecah RM2,000 sebulan sejak tahun lepas.

Katanya beliau khuatir caj yang tinggi dikenakan itu boleh mencemarkan industri perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan juga sependapat bahawa pihak berkaitan pendidikan perlu meneliti dan menyemak isu caj Tadika swasta agar tidak membebankan ibu bapa.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan Tadika swasta dan kementerian berkaitan perlu membincangkan perkara ini agar dapat melaksanakan satu panduan tentang yuran siling atau kadar minimun yang boleh ditetapkan,” katanya.

“Kita tidak mahu gambaran imej yang melampau di mata masyarakat luar tentang caj Tadika dan siasatan rapi perlu dilakukan kerana kita tidak mahu caj tinggi tidak memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana menghantar anak-anak mereka,” katanya.

TAGS