Malaysia Dateline

Ahmad Yakob

Perlu kelulusan tanah sebelum bertani, kata MB Kelantan

Semua pihak yang berhasrat untuk menjalankan aktiviti pertanian di atas tanah kerajaan negeri perlu mendapatkan kebenaran dan kelulusan awal daripada pihak berkuasa khususnya Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) bagi mengelak menanggung rugi jika hasil pertanian mereka dimusnahkan, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata perkara ini perlu dipatuhi bagi mengelakkan berlaku konflik antara pengusaha tanah dan pihak berkuasa khususnya PTJ apabila tanaman itu terpaksa dimusnahkan bagi memberi laluan kepda projek pembangunan yang telah dirancang sebelum ini.

“Sepatutnya dapatkan kelulusan dahulu kerana jika penduduk tanam getah secara tak sah, kami tak tahu dan ia sekali gus mengganggu perancangan PTJ di sesetengah tempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Laporan Pemeriksaan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Ahmad berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa kira-kira 100 penduduk Kampung Peralla, Tanah Merah mendesak kerajaan negeri supaya membatalkan hasrat menjadikan kawasan kebun getah seluas 250 hektar di kawasan milik kerajaan negeri itu sebagai tapak perlombongan emas.

Penduduk mendakwa kebun itu yang telah diusahakan sejak 2011 dengan bayaran premium RM18,000 bagi setiap 2.5 hektar kian terancam apabila kerja perlombongan sejak awal tahun menyebabkan 100 pokok getah ditebang setakat ini dengan bayaran pampasan RM10 bagi setiap batang pokok.

Ditanya mengenai isu ini, Ahmad berkata kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap perkara itu dan berjanji untuk menyiasat punca sebenar kejadian.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Ahmad berkata kerajaan negeri memberi peluang kepada orang awam untuk turut serta memberi pandangan terhadap Draf Laporan Pemeriksaan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 bermula semalam hingga 30 Ogos depan yang dipamerkan di kawasan strategik terutama Pejabat Majlis daerah di setiap jajahan.

Beliau berkata pandangan orang awam terhadap hala tuju membabitkan pembangunan negeri ini amat diperlukan bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Katanya Draf Laporan Pemeriksaan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 mengenal pasti lima teras strategik pembangunan melalui 83 strategi, termasuklah penyelarasan terhadap projek infrastruktur berimpak tinggi seperi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Empangan Hidro Elektrik Nenggiri dan Lebir serta Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT 3).