Malaysia Dateline

Perlu lebih ‘keras’ pelihara kebersihan gaya berfikir umat

Bagi saya, pihak berkuasa agama wajar lebih keras sedikit dengan isu lakaran capal. Namun, bukanlah sampai ke tahap diambil tindakan undang-undang, cuma fatwanya perlu lebih keras sedikit.

Bukanlah saya anti tabarruk atau tidak cinta Rasul, tapi tabarruk dan kecintaan itu wajar didorong oleh sesuatu yang lebih jelas, sahih dan bukan berlegar di sekitar ruang sentimen dan dakwa-dakwi.

Walaupun terdetik juga dalam hati kebimbangan dorongan kepada syirik seperti gantungan tangkal dan azimat, namun perkara yang lebih penting ialah, penghormatan berlebih-lebihan kepada lakaran capal tidak membawa imej yang baik kepada Islam, Rasul dan kerasulan.

Sudahlah di beberapa belahan dunia agama ini dimomok sebagai agama ganas, kita tidak mahu di belahan dunia ini pula, agama ini dimomok dengan agama terkebelakang kerana masih berpaut kepada sesuatu yang bersifat simbol-simbolan.

Setelah diletak di kopiah dan di topi kemudian sekali-sekala letakan itu dikaitkan dengan berkat dan tolak bala, saya kurang selesa jika suatu hari nanti wujud pula pelekat kereta atau apa sahaja yang secara langsung dikait dengan kedua-dua ingatan tadi.

Adakah saya fobia atau paranoid dengan lakaran itu? Bukan! Saya sayangkan Islam, Rasul, kerasulan dan umat ini. Saya tidak mahu umat ini terbuai-buai dengan sentimen kepada lakaran itu kerana kita ada al-Quran dan syariat yang jelas.

Saya tidak paranoid dengan simbol Mercedes dan Camel kerana kaitannya dengan industri yang bebas bau agama, tetapi lakaran capal mengheret orang ramai dengan sentimen agama sedangkan lakaran itu bukanlah sesuatu yang sahih apatah lagi sarih.

Fatwa Perlis nampak lebih jelas dan keras berbanding bayan daripada Mufti Wilayah Persekutuan. Mungkin beliau mahu mengambil jalan tengah dalam isu ini, tetapi bayan Mufti Wilayah ditular seolah-olah menjadi hujah sokongan pula kepada aktiviti golongan capaliyyun.

Bagi saya, ada hal-hal yang kita boleh ambil jalan tengah untuk menjaga perasaan kedua-dua pihak, tapi ada ketikanya kita perlu lebih keras sedikit biar pun mungkin tidak popular untuk memelihara kebersihan gaya berfikir umat.