Malaysia Dateline

Perlu lebih ramai aktivis ide berbanding aktivis politik

Apabila orang politik memegang kuasa, mereka toleh kiri dan kanan, barulah mereka tahu politik sahaja terbatas dan tidak cukup tanpa aktivis buku dan idea, aktivis yang dapat menterjemahkan idea buku kepada pembangunan bangsa.

Memimpin memang sukar. Tetapi selepas pemimpin mengumpul manusia, mereka menunggu-nunggu apa idea pemimpin politik mereka. Waktu itulah rakyat sedar pemimpin mereka tidak cukup setakat pandai berpidato dan mengumpul pengikut sahaja.

Yang ini lebih sukar daripada memimpin — mencari pembantu yang menjana idea sehingga mereka tahu orang yang diharapkan memandu arah hidup bersama mempunyai idea yang membawa mereka ke depan atau menyelesai masalah mereka.

Pemimpin yang baik selalunya tahu apa yang dia mahu buat; selalunya dia tahu garis-garis umum program politik yang dia mahukan.

Namun pembantu yang beridea, yang mengkaji, dapat menghalusi idea itu: sama ada boleh atau tidak boleh dilakukan, mendapat sambutan atau tidak, memakan kos yang besar atau kecil.

Pembantu yang baik, walau tidak cukup idea atau ilmu tertentu, sekurang-kurangnya dapat mencari siapa yang lebih beridea atau berpengalaman di luar lingkaran mereka

Di sinilah idea, buku, pengalaman, kemahiran atau kajian menjadi sangat-sangat penting. Lebih penting daripada sang pemimpin.

Kalau tidak … kita hanya ada orang berkuasa tetapi gagal memimpin, gagal mentadbir. Yang berslogan tanpa isi, tanpa program konkrit untuk rakyat. Kita sudah tahu memang ramai aktivis menjadi orang politik seumpama itu.

Nota: Kenyataan ini tidaklah bermaksud sesiapa yang ada idea, ada kajian atau menekuni buku dengan mudah dapat memindahkan idea kepada program politik. Namun, setidak-tidaknya, dia ada asas atau permulaan untuk merencana sesuatu program pembinaan masyarakat.

*Penulis bekas ketua pengarang Malaysiakini, kini editor seksyen bahasa Melayu Malay Mail Online.