Malaysia Dateline

Perlu lebih serius atasi pencemaran 22 sungai di Johor

Terdapat sebelum ini maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menyatakan terdapat 22 sungai di Johor diklasifikasikan sebagai kelas keempat.

Jumlah itu telah memaparkan tahap kualiti air sungai di Johor amat membimbangkan dan perkara ini ditegaskan sendiri oleh Pengarah JAS Johor, Datuk Dr. Mohammad Ezzani Mat Salleh dalam suatu laporan akhbar.

Hal tersebut telah mengundang respon dari Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim yang menekankan agar perkara berkenaan segera ditangani oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau lagi, selama ini suara berkenaan keresahan dengan kualiti sungai di Johor ini telah dibawa ke sidang Dun Johor dan beliau telah menyatakan perkara secara serius.

“Kerajaan Johor perlu tumpu kepada sungai-sungai yang menjadi sumber air bersih sebagai keutamaan untuk dibaik pulih contohnya sungai Skudai, Tebrau, Johor dan sungai yang lain.

“Saya mencadangkan agar kerajaan negeri mengetatkan tindakan undang-undang atau akta terhadap pencemaran alam sekitar dan sungai. Antara cadangannya adalah cukai khas kepada pepontensi pencemar.

“Selain itu cadangan lain adalah, mewujudkan tabung khas bagi cukai dan denda dari pepotensi pencemar di mana dana tersebut dapat dimanfaatkan untuk tujuan pencegahan, penjagaan, baik pulih serta program kesedaran alam sekitar,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau yang selama ini memperjuangkan alam sekitar turut berpendapat ianya bukan sahaja merangkumi air kumbahan industri, loji dan tempat pengumpulan sampah namun turut membabitkan perlombongan, peladangan, perumahan serta perhutanan.

Beliau turut mencadangkan agar pembinaan lebih banyak sistem telemetri di sungai yang berpontensi tercemar untuk tujuan pengawalan dan ‘pollution detection’ agar langkah penjagaan sungai lebih berkesan.

“Pembabitan NGO dan individu pencinta alam sekitar boleh membantu dalam usaha untuk menjaga sungai ini.

“Saya juga akan membawa suara berkenaan dengan perwartaan kawasan sungai kelas pertama untuk tidak ada sebarang pembangunan di kawasan lembangan sungai.

“Tindakan perlu diambil secara tegas kepada pihak yang meneroka rizab sungai dengan secara tidak wajar. Selain itu penanaman semula pokok untuk memastikan keseimbangan ekosistem sungai dapat dijaga,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga turut melontarkan pandangan untuk mewujudkan badan bertindak dari kalangan jabatan, agensi, NGO, individu yang bertauliah serta pihak universiti sebagai tenaga pemikir dan pemantau dalam kes ini.