Malaysia Dateline

Perluas ujian saringan, pengesanan kontak elak kawalan Covid-19 sia-sia

Kerajaan wajib meningkatkan sasaran dan jumlah saringan Covid-19 selari dengan tuntutan sains dan panduan pengiraan yang diberikan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ahli Dewan Negara, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, kadar ujian positif Covid-19 bagi Malaysia masih tinggi iaitu pada kadar enam hingga sembilan peratus.

“Itupun berdasarkan jumlah saringan yang jauh lebih rendah iaitu 64,000 saringan sehari sepertimana yang berlaku sekarang, berbanding yang sewajarnya dibuat iaitu pada kadar sekurang-kurangnya 330,000 saringan sehari!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan adalah sangat penting untuk kerajaan segera melantik petugas tambahan bagi menjalankan tugas-tugas penjejakan dan pemantauan kontak rapat.

“Kegagalan meletakkan keperluan ini sebagai keutamaan hanya akan membazirkan usaha memperluaskan saringan, dan segala usaha yang telah dilakukan sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, pelaksanaan PKP tanpa mengambil kira penambahbaikan kepada memperluaskan ujian saringan, memperkemas penjejakan kontak dan Pemantauan serta segera melaksanakan Program Vaksinasi Rakyat seiring tuntutan sains akan hanya menjadi satu tindakan dan usaha yang sia-sia.