Perluaskan bidang kuasa hukuman jenayah syariah amat penting

Perluaskan bidang kuasa hukuman jenayah syariah amat penting

Datuk Selamat Paigo Memperluaskan bidang kuasa hukuman bagi jenayah syariah amat penting selaras dengan kehendak bagi memartabatkan perundangan Syariah, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Datuk Selamat Paigo.

Beliau berkata hukuman bagi jenayah syariah perlu untuk dipertingkatkan memandangkan sudah lebih 33 tahun hukuman itu masih tidak dipinda.

“Kali terakhir bidang kuasa hukuman jenayah syariah ini dipinda adalah pada 1984 iaitu hanya memperuntukkan hukuman maksimum sekadar penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan. Hukuman ini dilihat sudah tidak wajar lagi untuk diaplikasikan pada masa kini dan perlu dipertingkatkan memandangkan sudah lebih 33 tahun hukuman ini masih tidak dipinda.

“Peningkatan hukuman ini juga selaras dengan perkembangan semasa yang berlaku beserta kesan berikutan hukuman sedia ada langusng tidak memberi kegerunan serta kesedaran terhadap umat Islam,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2017 kali ke-4 anjuran Bahagian Pendakwaan JHEAINS di sini, hari ini.

Beliau berkata isu perundangan jenayah syariah sentiasa menjadi polemik perbincangan terutamanya berkaitan dengan peningkatan bidang kuasa terhadap hukuman bagi kesalahan jenayah itu yang menjadi suatu usaha ke arah memartabatkan sistem perundangan Jenayah Syariah di negara ini.

Namun, katanya masih wujud lagi kekangan yang menjadi penghalang terhadap peningkatan hukuman tersebut.

Justeru, beliau berharap konvensyen itu akan dapat menatijahkan suatu resolusi yang mampu diangkat bagi mencapai matlamat yang suci serta memberi impak berkesan.

“Ini ke arah bagi memastikan usaha yang berterusan untuk memperteguh serta memperkukuhkan perundangan jenayah syariah dalam negara ini,” katanya.

Seramai 160 peserta menyertai konvensyen sehari itu yang bertemakan ‘Perundangan Jenayah Syariah: Kuasa Diperteguh, Jentera Diperkukuh’.

COMMENTS

Wordpress (0)