Malaysia Dateline

Perlukah ahli politik, pengguna media sosial dapatkan lesen dari Finas?

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, dianggap tidak benar-benar memahami kesan daripada keputusannya apabila menetapkan mereka yang menerbitkan filem di media sosial, wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mempersoalkan sama ada perlu ahli-ahli politik termasuk rakyat Malaysia selepas ini perlu mendapatkan lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebelum menerbitkan sebarang video di media sosial.

Sehubungan itu, pihak kementerian, katanya, perlu segera memberikan penjelasan terperinci memandangkan kesan penakrifan tersebut memberi maksud kesemua pengguna media sosial mungkin perlu mendapatkan lesen dari Finas.

Menurutnya, timbul kekhuatiran bahawa ketetapan dibuat kerajaan itu bakal memberi kesan besar buat semua pengguna media sosial, dan memungkinkan timbul isu pendakwaan terpilih.

“Saya rasa ramai yang akan tertanya sama ada bila kita menerbitkan sebarang video dalam media sosial, adakah itu akan tertakluk kepada akta seperti yang disebutkan.

“Bagaimana bagi pengguna media sosial terutama kami ahli-ahli politik yang banyak buat siaran langsung di Facebook. Adakah kami perlukan lesen Finas?

“Jadi, saya tak pasti sama ada YB Menteri benar-benar memahami kesan keseluruhan kenyataan dan jawapan beliau,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Justeru beliau berkata, Saifuddin perlu memberikan penjelasan termasuklah soalannya sama ada Dr Dustin Pfundheller yang menghasilkan dokumentari dan disiarkan di media Bernama, mempunyai lesen Finas.

Fahmi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Saifuddin bahawa penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

Permohonan lesen juga perlu dilakukan sama ada dari agensi media arus perdana atau individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Akta itu diwajibkan susulan beberapa isu berlaku terutama siasatan awal Finas yang mendapati syarikat Al Jazeera International (M) Sdn.Bhd. tidak mempunyai SPP bagi tujuan penggambaran dokumentari tersebut.

Siasatan dilakukan selepas penerbitan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ awal bulan ini yang tidak tepat sekali gus mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.