Malaysia Dateline

Perlukan permit polis untuk keluar zon di Sarawak

Hanya orang awam yang mendapat kelulusan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibenarkan untuk pergerakan antara zon di Sarawak yang bermula hari ini sehingga 1 Mac depan.

Menurut Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, penguatkuasaan itu adalah selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri ini.

Katanya, JPBN telah membahagikan Zon Covid-19 iaitu Zon Kuching (Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian), Zon Sri Aman (Bahagian Sri Aman), Zon Sarikei (Bahagian Sarikei dan Betong), Zon Bintulu (Bahagian Bintulu), Zon Miri (Daerah Miri), Zon Beluru (Daerah Beluru), Zon Subis (Daerah Subis).

“Untuk Zon Bekenu pula melibatkan Daerah Bekenu), Zon Telang Usan (Daerah Telang Usan) Zon Marudi (Daerah Marudi), Zon Limbang (Bahagian Limbang), Zon Sibu (Daerah Sibu), Zon Kanowit (Daerah Kanowit), Zon Selangau (Daerah Selangau), Zon Kapit (Daerah Kapit), Zon Song (Daerah Song), Zon Belaga (Daerah Belaga dan Zon Bukit Mabong (Daerah Bukit Mabong).

“Oleh demikian, pergerakan antara zon berkenaan tidak dibenarkan bermula hari ini sehingga 1 Mac depan kecuali hanya mereka yang mendapatkan kelulusan permit daripada polis” tegas JPBN dalam satu kenyataan.

JPBN menegaskan, sepanjang penguatkuasaan itu bilangan orang awam dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan dan perkhidmatan serta rantaian aktiviti ekonomi atau industri bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan persendirian, Jabatan Kerajaan atau syarikat swasta bagi tujuan pergi dan balik dari tempat kerja atau menjalankan urusan rasmi kerajaan bergantung kepada kapasiti tempat duduk kenderaan digunakan.

Bagi bilangan penumpang dalam kenderaan persendirian tambah JPBN, ia mengikut kapasiti kenderaan namun individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam terbuka serta sesak.

“Untuk perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, feri, kapal terbang, teksi atau e-hailing dan lain-lain pengangkutan awam hanya dibenarkan beroperasi mengikut waktu ditetapkan serta bergantung kepada kapasiti kenderaan.

“Perkhidmatan penghantaran makanan turut dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam iaitu hanya pergerakan dalam zon masing-masing dibenarkan kecuali ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” kata JPBN.

Seterusnya JPBN memaklumkan semua aktiviti perniagaan, ekonomi atau industri dibenarkan beroperasi seperti ditetapkan oleh kerajaan.

“Pasar raya, pusat beli belah dan kedai runcit dibenarkan beroperasi mengikut SOP ditetapkan antara jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam termasuk restoran, kedai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja gerai makan tepi jalan dan kiosk tetapi perlu mematuhi SOP Sektor Makanan.

“Bagi operasi pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam di zon merah Covid-19 tidak dibenarkan beroperasi,” ujar JPBN.