Malaysia Dateline

Perlumbaan kriterium malam kembali selepas 20 tahun

Seramai 2,000 peserta dijangka mengambil bahagian apabila ‘Kuala Lumpur Criterium – Night Challenge’ kembali dianjurkan selepas 20 tahun di Dataran Merdeka.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata acara berbasikal pada waktu malam yang melibatkan 20 kategori termasuk wanita dan kanak-kanak itu akan diadakan pada 2 Feb depan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2019.

Beliau berkata acara tumpuan utama adalah kategori terbuka lelaki (40km) dan terbuka elit (50km) yang bakal disertai beberapa pelumba profesional negara pada sebelah malam, walaupun karnival diadakan sepanjang hari.

“Acara berbasikal menjadi fenomena dalam industri sukan negara ketika ini dengan minat yang tinggi dalam kalangan rakyat. Kuala Lumpur turut aktif mempromosi acara berbasikal melalui penganjuran ‘KL Car Free Morning’ setiap dua minggu, dan baru-baru ini acara Berbasikal OCBC.

“Acara KL Criterium-Night Challenge mempunyai keunikan tersendiri. Peminat berbasikal pastinya memahami konsep perlumbaan kriterium yang dipenuhi dengan strategi dan taktikal pecutan hebat, kelajuan dan kepantasan kayuhan pelumba,” katanya pada majlis pelancaran logo dan imej kejohanan itu di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Khalid berkata selain meletakkan Kuala Lumpur di peta sukan dunia, acara itu juga memberi peluang kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengintai potensi pelumba muda yang bakal diserapkan ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, pengarah acara berkenaan Emir Abdul Jalal berkata pasukan profesional seperti Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling dan Forca Amskins menunjukkan minat menyertai kejohanan tersebut dalam merebut gelaran ‘Raja Pecut’ Malaysia, selepas kali terakhir kriterium malam itu diadakan pada 1999.

“Selain itu, kita juga sedang cuba membawa pelumba dari negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia. Acara ini akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube,” katanya.

— BERNAMA