Malaysia Dateline

Permainan e-sukan antara kampus harus diberi sokongan, kata Rektor UiTM Kedah

Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kedah akan pasti memberi galakan dan sokongan kepada pelajar-pelajar yang berminat dalam permainan e-sukan.

Malah ia juga berteraskan inisiatif UiTM cawangan Kedah yang turut mengadakan pertandingan-pertandingan e-sukan di peringkat dalaman dengan tujuan untuk mencungkil bakat baru dikalangan para pelajar UiTM.

Demikian dinyatakan oleh Rektornya, Prof Madya Dr Shaiful Annuar Khalid selepas pasukan Raizen Squad yang terdiri dari lima pelajar cawangan UITM Kedah berjaya menjadi Naib Juara, Zon Utara, dalam Zon Final XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Semester dua 2019 anjuran Media Prima Digital dan Kitamen Resources yang telah diadakan di Dewan Utama Desasiswa, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, pada Sabtu dan Ahad.

Shaiful Annuar Khalid

Beliau juga berkata, kemenangan pelajar-pelajar UiTM cawangan Kedah mewakili Zon Utara amat dibanggakan kerana pencapaian ini pasti akan memberi inspirasi dan semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk bersaing bagi menjuarai permainan e-sukan kini.

“UiTM cawangan Kedah tetap memberi dokongan kepada para pelajar untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang.

“Melalui kejohanan e-sukan yang semakin popular tatkala ini kita optimis dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk digilap dikalangan pelajar kampus cawangan Kedah.

“Sokongan akan terus diberikan dalam mempelbagaikan pertandingan-pertandingan e-sukan sejajar dengan perkembangan sukan popular tersebut kini, ” tambah beliau.

Dalam kejohanan yang telah diadakan di USM tiga jenis e-sukan yang dipertandingkan iaitu Mobile Legends: Bang-Bang, PUBG Mobile dan Kategori Terbuka CS:Go

Kejohanan tersebut yang memberi peluang kepada pelajar IPTA dan IPTS telah bermula dengan Zon Borneo, Zon Selatan, Zon Tengah, Zon Utara, Zon Timur dan akan mengadakan pertandingan akhirnya di The Curve, Main Concourse, Damansara, pada 23-24 November dengan menyediakan keseluruhan hadiah berjumlah RM180,000.

Raizen Squad mewakili UiTM cawangan Kedah yang berjaya menjadi Naib Juara Zon Utara.