Wira Malaysia menewaskan Thailand, Mohamad Faisal Abdul Halim mengakui skuad Harimau Malaya perlu meningkatkan mutu persembahan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di gelanggang lawan, Selasa depan.
Beliau berkata ia selepas pasukan negara tidak menampilkan corak permainan biasa ketika menundukkan Thailand 1-0 di sebalik dominasi permainan skuad Gajah Perang itu pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
“Kita ada 90 minit di Thailand, ia bukan perkara mudah, kita belum layak ke final tapi tak mustahil…sudah tentu kita perlu tambah baik dan tingkatkan lagi permainan. Walaupun kita menang hari ini (malam tadi), permainan kita bukan seperti biasa.
“Saya harap di Thailand nanti dapat kekalkan satu jaringan dan jangan bolos, kalau tak boleh jaringkan gol pun kita masih menang 1-0 dan layak ke final,” kata penjaring gol kemenangan pasukan negara ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.
Thailand yang merupakan juara bertahan dan juara enam kali, berjaya mengawal 90 minit permainan di Bukit Jalil, namun terpaksa akur tewas di hadapan lebih 60,000 penyokong tuan rumah.
Mohamad Faisal meledak jaringan penting Malaysia pada minit ke-11 untuk memberi skuad bimbingan Kim Pan Gon bekalan diinginkan bagi mengharungi aksi timbal balik yang dijangka berlangsung sengit di Stadium Thammasat di wilayah Pathum Thani dalam kemuncak perebutan slot ke final.
Jaringan sempena ulang tahun kelahirannya ke-25 menyaksikan pemain sayap Selangor FC itu kini berada di posisi kedua dalam carta penjaring terbanyak di belakang penyerang prolifik Thailand Teerasil Dangda yang mengumpul lima gol.
Bercakap mengenai jaringannya, Mohamad Faisal berkata beliau mempunyai perasaan yang bercampur baur terutama mengenangkan keluarga.
“Saya gembira dan bersedih sebab saya jaringkan gol pada hari jadi saya tetapi tak sambut dengan keluarga, isteri dan anak…ia satu perkara yang sukar untuk terima tapi saya ada rakan sepasukan, jurulatih dan pasukan, walaupun sambut dengan mereka sudah buat saya gembira,” katanya.
Pasukan negara yang muncul juara pada edisi 2010 dijadual berlepas ke Thailand hari ini.
— BERNAMA
Baca juga : Menang 1-0 ke atas Thailand masih tidak cukup, kata Kim Pan Gon