Permainan politik licik Umno

Permainan politik licik Umno

Datuk  Seri Ahmad Zahid Hamidi  menyambut kehadiran Datuk Dr Haron Din ketika dilantik sebagai Ketua Klastur Dakwah Majlis Perundingan Islam baru-baru ini.Setelah ditanya oleh beberapa pihak tentang kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asraf Wajdi Dusuki tentang tidak sesuainya undang-undang hudud di Malaysia, disini saya menyatakan pendapat saya sebagai ahli Parlimen.

Sejak dua tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta Pas membawa isu ke Parlimen dengan janji Kerajaan akan menyokongnya.

Setelah tiga kali dibawa ke Parlimen, rang undang-undang tersebut tidak pernah dibentang untuk dibahas. Sebagai Ahli Parlimen Pas pada masa itu ada beberapa perkara yang menjadi kemuskilan saya.

Semasa cadangan hudud di hantar kepada Speaker Parlimen pada 2015, kami dikalangan ahli Parlimen Pas pada masa itu, termasuk ketua Parlimen Pas pada masa itu, Datuk Mahfoz Omar tidak diberitahu tentangnya dan juga isi kandungan terlibat.

Kami percaya jika kami diberitahu tentang hal tersebut kami boleh memberi pandangan untuk mengelak di perdaya oleh Umno dan BN.

Sekarang ini jelas Umno-BN hanya bersandiwara dalam isu hudud ini. Kalau dulu Jamil Khir kata Umno akan sokong sekarang Asraf Wajdi pula berkata Malaysia masih belum bersedia melaksanakan hudud.

Sebab yang diberi ini telah dijangka kami akan digunakan kerana itulah kita ingin berbincang lebih teliti sebagai persediaan. Kami bukan menentang hudud saperti dituduh.
Inilah persoalan yg mengelirukan ramai pihak khususnya dari Terengganu.

Adun Salor Datuk Husam Musa mempersoalkan perlantikan Datuk Dr Haron Din dibawah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang difikir tidak kena dari segi protokol. Haron Din sebagai Mursyidul Am- tokoh tertinggi Pas tidak patut diletak di bawah  Naib Presiden Umno itu.

Ini adalah cara sinis Umno mempermainkan Pas dalam percaturan politik tanah air. Sama juga dalam isu hudud ini di mana Pas diberi harapan yang tinggi oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri sementara seorang lagi menteri dari Jabatan yang sama memusnahkan harapan tersebut.

Ini bukanlah cara seorang rakan mempermainkan sahabatnya terutamanya dalam isu agama. Apatah lagi apabila Menteri Besar Terengganu dengan rasminya melantik Pas sebagai penasihat Kerajaan Terengganu dan Pas pula sanggup menjadi penasihat di peringkat nasional.

Saya terpanggil memberi pandangan di atas kerana sering ditanya oleh sahabat-sahabat dikalangan ahli Pas terutamanya dari Terengganu.

Dalam keadaan dan suasana hari ini ramai yang keliru. Saya menganggap sahabat dikalangan ahli Pas sebagai rakan seperjuangan yang ingin menukar kerajaan Umno-BN.

Apa yang dilakukan oleh Umno kepada Pas tidak patut dibenarkan berterusan. Mereka yang ingin meneruskan keadaan ini mungkin ada agenda politik tersendiri mereka tapi bukan bagi kepentigan umum majoriti ahli Pas. Mereka hanya rakyat biasa yang banyak berkorban harta benda, masa dan penderitaan dibawah penindasan kerajaan sejak Merdeka lagi.

Sudah sampai masa perasaan dan hasrat ahli Pas biasa diberi perhatian.

Bukankah slogan Pas untuk Semua- “Pas for all,” pada PRU 13 mencerminkan kepentingan umum serta ahli biasa yang ramai juga perlu didahului dan bukan untuk segelintir sahaja ?

* Datuk Raja  Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad  adalah  Ahli Parlimen Kuala Terengganu

TAGS