Malaysia Dateline

Permaisuri Agong buat kejutan di kediaman Tun Hasmah

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini membuat kejutan terhadap Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Baginda mengunjungi isteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 95 tahun itu di Mines Resort, Selangor.

Tunku Azizah berkongsikan hal tersebut di Instagram baginda berserta muat naik video ringkas aksinya ‘mengusik’ Siti Hasmah sambil bermain biola.

“Saya bermain golf di The Mines dan memutuskan untuk membuat kejutan terhadap Tun Hasmah.

“Kali pertama dalam hidup saya pegang biola. Esok nak pergi beli biola dan belajar dari Tun Hasmah,” kata baginda.

Tunku Azizah turut mengabadikan pertemuan baginda dengan bergambar bersama Tun Hasmah hingga menerima pelbagai komentar positif daripada orang ramai.