Masyarakat perlu melihat Program Permata Negara (Permata) dari aspek pembangunan pendidikan kanak-kanak Malaysia secara menyeluruh yang menjadi penekanan inisiatif itu, berbanding soal di mana ia diletakkan dari segi pelaksanaan.
Permata, yang dinaungi isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, juga sebelum ini telah membentangkan dengan telus peruntukan yang diterimanya sejak 2009 hingga 2015 dan pengauditan akaun yang dilakukan.
Ia merupakan antara dua perkara utama yang diperjelas sewaktu kunjungan sekumpulan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada DAP diketuai Yeo Bee Yin (Damansara Utama) ke pusat pendidikan Permata di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi semalam.
Penasihat Bahagian Permata Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata kedudukan Permata di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah yang terbaik memandangkan jabatan itu sendiri terlibat sejak peringkat awal dalam kajian berkaitan pendidikan awal kanak-kanak yang dijalankan Permata.
“Kami mengenal pasti di mana kelemahan sistem taska sebelum ini yang lebih fokus kepada asuhan, kemudian kami perbaiki menggunakan pendekatan lebih menyeluruh iaitu menggunakan pendidikan,” katanya pada sidang media selepas kunjungan itu.
Selain Yeo, antara wakil DAP yang turut menyertai kunjungan itu ialah Adun Subang Hannah Yeoh, Adun Serdang Ong Kian Ming dan Adun Pulau Tikus Yap Soo Huey.
Sharifah Hapsah menarik perhatian bahawa kajian mengenai pendidikan awal kanak-kanak mengambil masa bertahun-tahun lamanya dan ia turut merangkumi penerokaan pelbagai cara untuk mentadbir urus Permata.
“Seharusnya semua pihak menghormati cara pelaksanaan ini kerana dalam masa 10 tahun ini, Permata di bawah JPM tidak mempunyai masalah untuk (melakukan) koordinasi dengan pelbagai pihak dan kementerian (lain),” katanya.
Yeo antara lain telah membangkitkan bahawa Permata tidak seharusnya diletakkan di bawah JPM sebaliknya patut ditadbir urus KPWKM.
Menyentuh pengauditan akaun Permata yang ingin dilihat Yeo dan rombongannya yang berada lebih dua jam di pusat pendidikan itu, Sharifah Hapsah berkata mereka perlu memohon kelulusan Jabatan Audit Negara.
Laporan audit Yayasan Permata yang diaudit Ernst & Young pula akan disiarkan di laman web Permata mulai minggu depan, kata Sharifah Hapsah.
Bercakap pada sidang media sama, Yeo berkata walaupun belum berpuas hati dengan beberapa perkara, mereka bersetuju dan menyokong program Permata yang dianggap membantu dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak bagi jangka masa panjang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Program Permata Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod berkata Permata secara purata menerima peruntukan tahunan RM40 juta hingga RM45 juta setahun.
Katanya, ia merangkumi 40 peratus bagi kegunaan emolumen, 30 peratus bagi pengurusan dan penambahbaikan manakala 30 peratus lagi disalurkan kepada lima program Permata – Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Permata Remaja dan Permata Kurnia.
Dalam pada itu, pembantu khas kepada Rosmah, Datuk Rizal Mansor berkata Yeo telah menepati janjinya untuk memberi penjelasan terperinci mengenai projek-projek kontroversial kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP dengan menyerahkan laporan mengenai perkara itu kepada beliau.
Rizal berkata beliau akan meneliti laporan itu sebelum meneruskan hasrat mendapatkan gambaran penuh daripada kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri mengenai perkara itu yang menurutnya akan diaturkan Yeo dalam masa terdekat