Permintaan buruh sektor swasta suku kedua 2018 meningkat

Permintaan buruh sektor swasta suku kedua 2018 meningkat

Jumlah jawatan yang ditawarkan oleh sektor swasta meningkat kepada 8.5 juta pada suku kedua 2018 berbanding 8.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Mengulas Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Kedua 2018, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jawatan diisi meningkat kepada 8.3 juta berbanding 8.2 juta pada tempoh sama, manakala kekosongan jawatan turun kepada 200,000.

“Pewujudan jawatan pada suku sama ialah 27,000 berbanding 41,000 pada suku tahun kedua 2017,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata sebahagian besar jawatan adalah dalam kategori separuh mahir iaitu 62.2 peratus berbanding 24.3 peratus bagi kategori mahir dan 13.5 peratus kategori berkemahiran rendah.

Bagaimanapun, katanya sumbangan pewujudan jawatan bagi kategori mahir meningkat kepada 47.3 peratus berbanding 47.1 peratus pada suku sama tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata sumbangan pewujudan jawatan dalam kategori berkemahiran rendah pula merekodkan sumbangan sebanyak 3.7 peratus.

Menurutnya sektor perkhidmatan merekodkan jumlah jawatan dan jawatan diisi tertinggi pada suku kedua 2018, masing-masing sebanyak 51.6 peratus dan 52.4 peratus, diikuti sektor pembuatan dengan 26.2 peratus jawatan dan 25.5 peratus jawatan diisi.

Sektor pembinaan pula mewakili 15.5 peratus jawatan dan 15.6 peratus jawatan diisi.

Loading...

Sumbangan jawatan dan jawatan diisi yang paling rendah adalah di sektor perlombongan dan pengkuarian (1.0 peratus).

Kekosongan tertinggi pula adalah di sektor pembuatan (54 peratus), diikuti perkhidmatan (20.2 peratus), pertanian (14.7 peratus), pembinaan (10.9 peratus) dan perlombongan dan pengkuarian (0.2 peratus).

— BERNAMA